Kuala Lumpur: Pelakon sensasi, Ruhainies enggan mengambil pusing dengan pandangan orang luar sekiranya ada yang melabel dirinya sebagai penunggang agama hanya disebabkan berkongsi amalan berselawat di media sosial.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, berkata, dia bagaimanapun menzahirkan rasa syukur kerana ramai individu mahu menyertai misi dilakukan selain meneruskan rutin itu walaupun tempoh 40 hari sudah tamat.

“Kalau nak berprasangka buruk biarkan saja, saya cuma mahu kongsi amalan baik dan alhamdulillah saya dapat banyak DM (mesej langsung) yang mahu sertai misi berselawat ini bersama-sama dan ada juga baru nak mula.

“Saya percaya apabila kita jadikan berselawat sebagai rutin, rasa hari tak lengkap kalau tertinggal dan saya teruskan saja sampai sekarang sebab ibu pun sarankan saya buat kerana bukan sekadar dapat pahala malah mampu memberikan ketenangan.

“Sebagai manusia biasa kita tidak lari daripada memikirkan perkara yang kurang elok tetapi dengan berselawat saya dapat lencongkan hal negatif itu,” katanya.

Menurut Ruhainies, demi memastikan dirinya konsisten dalam melakukan amalan itu dia juga sering membawa alat zikir digital ke mana-mana sekali gus menjadi teman akrabnya sekarang.

“Alhamdulillah banyak benda positif yang hadir dalam hidup saya sekarang, kawan baharu, rezeki berterusan dan sebagainya.

“Nikmat yang Allah kurniakan ini tentu saja saya syukuri kerana membuatkan saya terus beringat dalam meneruskan langkah ini,” katanya.

Dalam masa sama, Ruhainies mengaku menghadiri kelas agama secara atas talian.

“Saya juga ada sertai kelas agama tetapi secara atas talian. Bukan tak nak sertai majlis ilmu sebab ada juga kawan pelawa tetapi saya tak mahu kerana lebih selesa menjaga privasi.

“Kalau boleh tak nak ada kamera (tak mahu menunjuk). Biarlah urusan mengejar ilmu akhirat itu antara saya dan Allah saja,” katanya.

Terdahulu, nama Ruhainies menjadi antara artis paling panas tahun ini berikutan kontroversi khalwat bersama pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, sekitar Mac lalu.

Berikutan insiden itu, Ruhainies terus berdepan kecaman terutama setiap kali memuat naik hantaran di media sosial termasuk amalan 1,000 selawat selama 40 hari yang dilakukan kini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *