Kuala Lumpur: Penyanyi, Noryn Aziz dipilih sebagai pemenang Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) 2024 kategori Ikon Muzik pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.
Noryn menerusi Instagram berkongsi kegembiraannya ketika menerima hadiah yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Terima kasih “Bumiputera Business excellence Awards” Ikon Muzik. Terima kasih atas pengiktirafan dan sokongan. Ia bukan sekadar pencapaian saya, ia adalah cerminan orang yang luar biasa yang telah memberi inspirasi dan menaikkan semangat saya melalui suka dan duka dalam perjalanan saya.
“Setiap langkah telah mendorong saya ke arah peningkatan, dan saya amat menghargai pencapaian yang dibawa oleh laluan ini.
“Ia adalah kemajuan, semangat dan tujuan. Alhamdulillah,” tulisnya.
BBEA 2024 adalah acara berprestij dan adalah platform yang bertujuan memperkasakan kemajuan serta memberi penghargaan kepada syarikat Bumiputera, perusahaan, usahawan dan personaliti di Malaysia atas pencapaian, kecemerlangan dalam inovasi dan sumbangan mereka kepada industri.
Mengangkat tema Menjuarai Kecemerlangan, Meraikan Kebersamaan, anugerah itu turut menghimpunkan penggerak komuniti Bumiputera serta mengiktiraf jenama yang berusaha untuk memberi impak pertumbuhan ekonomi dan dalam industri perniagaan masing-masing.