Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menegaskan pemilihan tujuh filem cereka yang mengungguli kategori Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) adalah karya berkualiti dan memenuhi kriteria dicari barisan juri tahun ini.

Tujuh filem yang berjaya bolos dalam kategori itu adalah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie dan Hungry Ghost Diner .

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menegaskan, Finas yakin barisan juri mengadili secara telus dari semua aspek dan sudut serta menonton filem yang bertanding banyak kali.

“Saya pasti setiap juri ada pengamatan apa yang mereka nak sampaikan atau kenapa pilih

naskhah untuk diangkat sebagai Filem Terbaik.

“Sebab itulah kami nak beri penekanan kepada juri sebab saya melihat FFM bakal melahirkan panel juri yang profesional dan berpengalaman.

“Finas juga akan membantu beri peluang kepada barisan juri dari Malaysia untuk menjadi panel juri di peringkat antarabangsa supaya mereka dapat menimba ilmu di luar negara,” katanya.

Menurut Azmir, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada pihak Sekretariat supaya ketua juri akan diminta beri sedikit ulasan mengenai pemilihan Filem Terbaik.

“Selepas malam kemuncak FFM 33, kami akan beri peluang kepada wakil media untuk bertanya kepada juri mengenai kriteria Filem Terbaik yang dipilih.

“Kami mahu pembikin filem tempatan mengetahui kriteria yang barisan juri lihat kepada pemenang kategori Filem Terbaik dan mungkin saya nak dokumenkan perkara ini,” katanya

Dalam masa sama, Azmir menjelaskan sepatutnya hanya lima filem yang layak ke kategori itu, namun Finas bersetuju mengumumkan tujuh filem pada penganjuran kali ini.

“Sepatutnya hanya lima filem dipilih dalam senarai Top 5 bagi kategori Filem Terbaik, tetapi barisan juri buat keputusan pilih tujuh filem. Kami menerimanya kerana sudah mendapat penjelasan mengenai banyak saingan tahun ini.

“Melihat senarai tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kami nampak ada peningkatan dari segi kualiti dan saingan. Ini kerana ada filem sudah memenangi banyak festival antarabangsa dan mendapat kutipan pecah panggung.

“Selain itu, bukan sahaja filem bahasa Melayu, tetapi bahasa Cina dan ada juga filem berlainan genre seperti aksi, drama dan sains fiksyen,” katanya.

Mengetengahkan tema Evolusi Sinema Malaysia atau FFM 33 akan bersiaran secara langsung pada 7 Disember ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *