TIGA pemain gitar legenda iaitu Man Keedal dari Search / Lefthanded, Jo Branko (Barbarik) dan Eet Sjahranie dari kumpulan Edane di Indonesia bakal menghangatkan pentas menerusi Konsert ROXtheNATION yang akan berlangsung 25 Januari tahun depan di Menara Kuala Lumpur sebagai pembuka tahun 2025.

Apa yang menarik, Eet yang cukup popular bersama kumpulan rock Indonesia, Edane bakal membuat penampilan sulung di Malaysia.

Sasarannya tidak tertumpu untuk menarik peminat tempatan semata-mata. Dia juga berharap akan mendapat sokongan padu warga Indonesia yang menetap di negara ini untuk hadir memeriahkan acara itu.

“Ini pertama kali saya membuat persembahan di Malaysia. Untuk lokasi yang mampu memuatkan 3,000 penonton itu, harapnya peminat dari kedua-dua negara akan bergabung menikmati konsert kami,” katanya.

Dianjurkan Menara Kuala Lumpur, konsert itu juga projek usaha sama dengan FAR Worldwide sebagai Penganjur Acara dan SU.RE Sihat KL iaitu singkatan bagi Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur.

Pengerusi Projek, Ellie G menyifatkan ROXtheNATION sebagai impian tertunda yang akhirnya terlaksana menerusi penyatuan figura muzik dua negara yang bakal memberikan energi luar biasa.

“ROXtheNATION adalah terjemahan kepada muzik rock dalam erti kata sebenar iaitu sebagai sebuah konsert yang akan menggegarkan Malaysia, malah sampai ‘terdengar’ di Indonesia dengan persembahan yang hebat.

“Kenapa Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie? Mereka bertahan selama empat dekad dalam industri muzik, malah masih memberikan sentuhan berbisa menjadikan kerjasama ini cukup magikal,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi memantapkan penganjuran, Man Keedal turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Konsert & Muzik, selain Samsul Kamal sebagai Penolong Pengarah Projek, Jerry Hend (Pengarah Kreatif), Mewah Event Management (Promosi) dan Ilasso Tickets (Pengurusan Tiket).

Sebagai menyokong usaha SU.RE Sihat KL yang kini dipimpin Presiden, Shameem Akhtar Mohd Ashraf, Ellie G juga mengumumkan bagi setiap tiket terjual, sebanyak lima peratus akan disumbangkan kepada persatuan berkenaan.

Ditubuhkan pada Julai 2019, SU.RE Sihat KL bertujuan menggalakkan penduduk ibu kota mengamalkan kehidupan yang lebih aktif dan kreatif dalam mencapai tahap kesihatan yang baik.

“Penajaan Farmasi iaitu sebuah jenama kecantikan yang dibangunkan di Turki juga membolehkan peminat berhibur sambil beramal apabila lima peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada persatuan, sama ada menerusi pembelian produk Farmasi Shield Man atau tiket konsert,” katanya.

Umum mengetahui mengenai pembabitan Man Keedal, 61, antara peneraju muzik rock tanah air yang mencipta nama bersama Lefthanded yang diasaskannya pada 1983. Jo Branko, 55, pula pemain gitar utama Wings sebelum menubuhkan Barbarik.

Selain itu, penonton bertuah turut berpeluang memenangi sebuah motosikal Harley-Davidson.

Ellie G berkata, kerjasama dengan jenama motosikal itu turut membawa kepada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Selain sebuah motosikal Harley-Davidson yang sinonim dengan genre muzik rock yang, ada aktiviti CSR akan disertai tiga ikon ROXtheNATION itu.

“CSR ini antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa melalui muzik, ia juga mampu mengeratkan persahabatan dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Justeru, dia tidak menolak kemungkinan ROXtheNATION menjadi acara tahunan yang memanfaatkan industri muzik. Apatah lagi dengan edisi sulung ini yang direalisasikan oleh Menara Kuala Lumpur, sekali gus menyemarakkan lagi industri pelancongan negara.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *