KUALA LUMPUR: Kejayaan Shah Radhy menggenggam trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 bukanlah tiket untuk dirinya menaikkan kadar bayaran atau mendabik dada.
Sebaliknya, Shah yang menceburkan diri dalam dunia seni sebagai pekerja belakang tabir sejak tujuh tahun lalu menyifatkan kemenangannya sebagai tanggungjawab untuk terus memberi sepenuh jiwa dalam setiap projek dijayakan.
“Saya masih orang yang sama seperti sebelum ini. Pada saya, ini adalah permulaan baharu untuk teruskan usaha memberi yang terbaik dalam bidang ini.
“Soal harga bukan jadi keutamaan. Jadi, saya berharap sangat kalau ada watak yang dapat memberi impak kepada saya dalam industri hiburan.
“Cara saya selepas menang trofi ABPBH 36 pun masih sama seperti dahulu. Bagi siapa yang kenal saya, sudah tahu bagaimana cara saya bekerja. Saya sangat serius dalam apa sahaja tugasan dilakukan.

“Saya bekerja dalam bidang ini secara profesional. Tetapi, sebaik tamat waktu bekerja, kita boleh berkawan seperti biasa. Kerja dan hubungan di luar adalah dua perkara yang berbeza,” katanya kepada BH Online.
Shah atau nama penuh, Muhammad Shah Radhi Hazvee, 28, berkata dengan gelaran Artis Baharu Popular ABPBH 36, dia sedaya upaya berusaha meningkatkan usaha dan menjadi lebih serius sebagai pelakon.
“Kemenangan pada ABPBH 36 adalah tanggungjawab peribadi sebagai anak seni. Malah, saya perlu lebih serius untuk akan datang. Jadi, apabila ada beberapa tawaran, saya perlu berhati-hati untuk pilih watak yang boleh memberi impak kepada kerjaya selepas ini.
“Ada tawaran filem dan drama, jadi, saya dengan pasukan perlu susun betul-betul jadual sedia ada. Dalam tahun ini, saya fokus kepada bisnes. Jadi, masa dapat tahu saya tercalon di ABPBH 36, kelab peminat semangat mahukan saya menang.
“Saya banyak luangkan masa dengan ketua kelab peminat, berjumpa dan berbincag dengan mereka. Saya mahu ada dengan mereka sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka menyokong dan mengundi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pelakon filem Jiwa 8 Belas dan Sazali Meor Coco itu akan menjayakan beberapa tawaran lakonan lain termasuk menguruskan perniagaan dijalankan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Ada yang boleh dikongsikan, ada yang masih belum boleh. Setakat yang boleh dikongsi, tawaran beberapa filem yang saya dapat. Saya akan terima, tetapi macam mungkin agak selektif supaya dapat pilih watak yang memberi impak.
“Saya juga merakamkan lagu, berbaki rakaman video muzik sahaja. Semua ini saya akan fokus selepas urusan perniagaan di Dubai selesai,” katanya.