PERSONALITI televisyen dan penyanyi Singapura, Roziana Cindy melakar sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi pertama dari negara itu berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda menerusi lagu Paling Sejati.

Roziana bakat dicungkil daripada program realiti Anugerah 2017 di Mediacorp Suria berkata, lagu itu mengupas keindahan cinta sejati dan rasa syukur serta menggambarkan jalinan emosi dan ikatan tulus.

“Melodi penuh perasaan, setiap liriknya seolah-olah menggambarkan jalinan emosi kuat dan ikatan tidak tergoyahkan antara dua hati.

“Lagu ini membawa pendengar menyelami lautan kasih sayang yang dalam di mana setiap baitnya mencerminkan pengalaman cinta murni dan abadi.

“Keindahan liriknya juga mengekspresikan betapa pentingnya menghargai setiap detik dalam perhubungan, merayakan momen-momen kecil yang membentuk ikatan itu menjadi sesuatu yang luar biasa.

“Bersyukur dengan cinta dan kasih sayang yang cukup tak membuat sesiapa terluka,” katanya.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ade itu adalah bukti dedikasi Roziana dalam menghasilkan karya muzik yang indah, sekali gus menggambarkan gabungan harmoni antara seni Singapura dan Indonesia.

Istimewanya, Roziana juga Penerbit Eksekutif untuk lagu dan muzik video Paling Sejati yang mana single sulungnya dilancarkan di negara ini sebagai usaha menembusi pasaran muzik tempatan.

Dihasilkan dan diiringi susunan muzik indah, Paling Sejati menggabungkan elemen balada moden dengan sentuhan nyanyian tenang, tradisional, memberikan pengalaman audio unik kepada pendengar.

Ia menonjolkan keupayaan Roziana untuk membawa emosi dalam setiap bait lirik.

Single Paling Sejati dirakam di Jakarta, Indonesia manakala video muzik (MV) menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Yogyakarta, Indonesia.

Mengenai MV lagu itu pula, Roziana berkata, ia menonjolkan elemen visual yang menggambarkan keindahan landskap dan tradisi tempatan.

Katanya, ia turut menguatkan naratif emosi dibawa oleh lagu ini dengan cara berkesan.

“MV ini sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara pelbagai budaya di rantau ini,” kata Roziana yang berharap lagu itu dapat diterima peminat muzik.

Tambahnya, lirik dan melodi lagu itu diharap dapat memberi inspirasi dan menjadi simbol cinta sejati yang boleh dirasai bersama.

“Karya seni yang merentasi sempadan, memaparkan perpaduan antara budaya Singapura, Malaysia dan Indonesia, mengukuhkan persaudaraan dan semangat bersama dalam menghargai muzik menyentuh jiwa.

“Sejujurnya, lagu Paling Sejati adalah luahan jiwa saya mengenai kepercayaan kepada cinta sejati,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *