PETALING JAYA: Selepas kali terakhir membintangi drama TV3 Hati Yang Tersakiti empat tahun lalu, Datuk Remy Ishak kini kembali ke kaca televisyen melalui drama terbitan Media Prima, Marina.
Drama bersiri 30 episod arahan Along Kamaludin terbitan Creative Solution yang mula bersiaran pada 25 November lalu itu menyaksikan beliau berganding dengan Sophia Albarakbah.
Marina turut menampilkan gabungan barisan pelakon hebat lain seperti Hisyam Hamid, Muhsin Nadzli, Haneesya Hanee, Shaza Bae dan ramai lagi.
Membawakan watak Haqiem, seorang lelaki yang berdepan konflik keluarga, cinta dan kesihatan, Datuk Remy Ishak sekali lagi menyerlahkan sisi kematangan serta kredibiliti lakonannya.
Bukan sahaja menonjolkan perjalanan emosi wataknya yang penuh liku, tetapi drama ini turut membuktikan kehebatan beliau sebagai pelakon berkarisma yang mampu menyentuh hati penonton.
Marina mengisahkan seorang wanita muda (lakonan Sophia Albarakbah) yang bertekad mengubah nasibnya selepas kematian kakaknya dengan berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Di sana, dia bertemu dengan Datuk Fahad (lakonan Hisyam Hamid), seorang ahli kelab eksklusif yang kaya dan disegani, Marina menganggap beliau sebagai jalan keluar daripada kemiskinannya.
Namun, cinta sejati mula tumbuh dalam dirinya apabila dia berkenalan dengan Haqiem, lelaki yang patah hati selepas ditinggalkan oleh tunangnya.
Dalam dilema antara kekayaan dan cinta, Marina terpaksa membuat keputusan yang bakal menentukan nasib hidupnya.
Drama ini turut menyelitkan konflik keluarga yang mendalam seperti Haqiem, anak sulung dari keluarga kaya, terperangkap antara tanggungjawab terhadap perniagaan keluarga dan percintaannya bersama Marina.
Di sebalik wajah karisma Datuk Fahad yang kelihatan sempurna, tersembunyi sisi gelapnya yang melibatkan kegiatan haram dan konspirasi.
Marina pula, yang mengimpikan kehidupan mewah terpaksa berhadapan dengan ujian dan pengkhianatan yang lebih besar daripada perkara yang disangkakannya.
Marina menawarkan drama penuh plot mendebarkan dan emosi dengan setiap watak menghadapi konflik kompleks, daripada hubungan keluarga yang rumit hingga perebutan cinta dan kuasa.
Sophia Albarakbah berkata, Marina merupakan watak kompleks yang bermula dengan impian untuk lebih baik tetapi akhirnya terjebak dalam permainan emosi tidak dijangka.
“Perjalanannya dalam mencari kebahagiaan sejati ialah sesuatu yang saya harap penonton akan dapat rasakan.
“Drama ini menggabungkan elemen kekeluargaan dan percintaan yang penuh dengan liku-liku emosi, pastinya akan mengikat perhatian penonton dari awal hingga akhir,” katanya.
Saksikan Marina, drama penuh emosi yang akan membuka mata anda tentang erti sebenar cinta, keluarga dan pengorbanan setiap Isnin hingga Khamis, eksklusif di Tonton.
Strim episod baharu melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.
Untuk info lanjut tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Tonton di Facebook, Instagram dan Twitter di @TontonMY.