Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Indonesia, David Bayu buat julung bakal memeriahkan Festival Muzik Nyalafest 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, esok.

Bekas vokalis band Naif berkenaan akan menghiburkan peminat selama satu jam bersama barisan pemuzik pengiring di konsert itu.

Jurucakap penganjur juga pengasas Wolfstrike Brothers, Fizzany Adnan berkata, pemilihan David demi memenuhi permintaan peminat di negara ini.

Katanya, David juga meluahkan perasaan teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan peminat menerusi rangkaian lagu popularnya.

“Penampilan David turut melengkapkan lagi barisan artis terkenal dari dua negara serumpun iaitu Malaysia dan Indonesia seterusnya menyemarakkan Festival Muzik Nyalafest.

“Kepada peminat yang masih belum mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan ini, masih boleh berbuat demikian dengan melayari laman web myticketempire,” katanya.

Selain David, festival turut dijayakan beberapa artis terkenal Indonesia seperti Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya dan Fugo manakala artis tuan rumah pula dibarisi Noh Salleh X Restoe Iboe.

Berkongsi mengenai acara lagi, kata Fizzany, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti menarik di luar stadium untuk memeriahkan festival berkenaan.

“Aktiviti akan bermula seawal jam 10 pagi dengan sesi perkongsian daripada mereka yang berpengalaman dalam industri seni untuk berkongsi ilmu iaitu pengarah filem, Nik Amir Mustapha, Gilang Propagila (zine), Adib Azfar (The Fatalis) dan Rezavebrian (grafik) dan Kukubesi (grafik).

“Orang ramai di luar stadium juga boleh menonton persembahan hiburan dari band Oki Rama dan penyanyi lagu runut bunyi (OST) filem Babah, Panji Sakti secara percuma antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang.

“Selain itu acara cabutan bertuah menanti pengunjung. Terdapat juga pelbagai gerai menjual makanan dan minuman disediakan untuk orang ramai di luar stadium,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *