Ampang: Pemilik empayar Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan keluarga termasuk anak sulung, iaitu pengarah sensasi, Syamsul Yusof merancang bercuti ke Eropah, tahun depan, sekali gus melupakan sengketa dan mengeratkan ukhwah.

Perancangan itu dikongsi adik Syamsul, iaitu Syafiq kepada media, malam tadi.

Syafiq berkata, ibunya, Datin Patimah Ismail bertanggungjawab menjadi ‘mastermind’ dalam merancang percutian itu.

“Tidak ingat bila kali terakhir kami bercuti bersama. Kalau tidak silap, sebelum Covid-19, kami ada bercuti di London, United Kingdom (UK).

“Dalam keluarga, ibu paling teruja. Ibu yang merancang percutian ini. Ibu tahu saya dan abang sibuk dengan ‘shooting’ tahun ini. Jadi, percutian itu dibawa ke tahun depan.

“Setiap tahun ibu akan cari masa kumpulkan keluarga untuk bercuti, angkat beg sama-sama macam keluarga yang lain,” katanya ditemui pada majlis perasmian Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 di Studio Sound Stage, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Syafiq diumum calon Top 5 bagi kategori Pengarah Terbaik untuk filem Sheriff: Narko Integriti.

Sementara itu, Syafiq gembira hubungan Syamsul dengan ayah dan ibu kembali jernih. Malah, tambahnya, Syamsul semakin kerap pulang ke rumah dan mereka pernah berjumpa beberapa kali.

“Alhamdulillah, hubungan abang dengan ayah dan ibu sangat baik sekarang. Saya harapkan yang terbaik saja.

“Bagi saya, biasalah kalau ada gaduh-gaduh dalam keluarga. Lama-kelamaan mesti akan berbaik. Itu adalah lumrah dan saya yakin, tiada keluarga yang tidak bergaduh.

“Sebenarnya, apabila kita berbaik selepas bergaduh, kita akan lebih fahami suatu sama lain,” katanya.

Ditanya bila kali terakhir bertemu dengan abangnya, Syafiq berkata, Syamsul ada pulang ke rumah menikmati masakan ibu.

“Saya sudah banyak kali jumpa abang. Dia balik ke rumah untuk makan-makan bersama keluarga.

“Ini adalah satu pengakhiran yang sangat baik. Saya harap dapat bertahan untuk selama-lamanya,” katanya.

Sebelum ini, Syamsul dikatakan tidak pulang ke rumah ibu bapa selepas mendirikan rumah tangga dengan Ira Kazar.

Pada 5 September lalu, Syamsul menceraikan Ira dengan talak satu selepas 21 bulan berkahwin. Dilaporkan Syamsul dikatakan pulang ke rumah keluarga, kira-kira seminggu selepas bercerai.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *