Peningkatan kes perceraian dan ketegangan dalam rumah tangga mencetus ilham kepada penyanyi dan penulis lagu, Osem Han menghasilkan karya berjudul Masih Bisakah.
Menurut Osem, naskhah ini tercipta sebagai refleksi kepada realiti kehidupan rumah tangga yang tidak selalu indah, apatah lagi dengan wujudnya media sosial yang memberi ruang kepada lebih banyak masalah peribadi untuk dibincangkan secara terbuka.
“Mungkin dulu kita jarang mendengar mengenai masalah rumah tangga secara terbuka, tetapi dengan media sosial, isu ini semakin meluas dan mendapat perhatian ramai.
“Itulah sebabnya saya menghasilkan lagu ini, untuk memberi pengajaran dan membuka mata mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam hubungan berpasangan,” kata penyanyi kelahiran Singapura itu.
Tambah Osem, single terbaharunya itu mengangkat tema mengenai penerimaan dan keikhlasan dalam sesuatu hubungan.
“Bagaimana pasangan berhadapan dengan kesalahan dan ketidaksempurnaan masing-masing diceritakan mengenai lagu ini.
“Bukan sekadar kisah cinta malah lebih kepada soal kemampuan pasangan untuk menerima kesilapan selain bertahan dalam hubungan yang diuji oleh masa.
“Ibaratnya seperti bertanya kepada diri kita, bolehkah kita menerima kesalahan pasangan kita? Bolehkan kita terus bersama walaupun sudah banyak perkara yang berlaku? Dalam setiap perhubungan, ada masa kita merasa teruji dan bertanya, Masih bisakah kita teruskan?’,” katanya.
Penyanyi lagu Supernova dan Pilihanku itu mengakui karya berkenaan cukup dekat dengan pengalamannya sendiri yang pasti setiap kehidupan mempunyai fasa indah dan buruknya.
“Jika diamati lirik lagu ini ia sengaja saya biarkan ‘tergantung’ tanpa penyelesaian yang jelas, menggambarkan bahawa jawapan sebenar bagi setiap pasangan ada dalam diri mereka sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Osem mengakui bahawa dalam mencipta lagu ini, dia berusaha untuk tidak menjadikan Masih Bisakah sebuah lagu yang terlalu klise atau romantik.
Sebaliknya, dia mahu ia lebih kepada sentuhan realistik yang mencerminkan kehidupan sebenar.
Mengulas mengenai proses penghasilan lagu itu pula, Osem mengakui mempunyai cabaran tersendiri di mana ia dirakamkan di tiga lokasi berbeza iaitu Singapura, Jakarta dan Bali, bagi mendapatkan pengalaman muzik yang pelbagai.
Katanya, lagu berkenaan juga agak sukar dinyanyikan kerana banyak elemen ‘feel’ daripada teknik vokal.
“Proses rakaman ini juga benar-benar menyampaikan emosi sebenar dalam lagu,” kata Osem yang berharap karya itu dapat diterima oleh masyarakat seterusnya memberi inspirasi serta pengajaran berguna buat semua.
Katanya lagi, setiap daripada individu tidak harus mudah putus asa apabila berdepan masalah dalam perhubungan sebaliknya ia memerlukan usaha bersama untuk terus berkembang seterusnya mengatasinya dengan penyelesaian konklusif.