Buat julung kalinya, kumpulan lawak popular, Bocey akan muncul dalam persembahan pentas muzikal secara langsung bersama teman seperjuangan, Dol’s Podcast di hadapan lebih 1,600 penonton bertempat di Capitol Theatre, Singapura pada 30 November ini menerusi Bocey Comeback Live In Singapore.

Mengangkat sentimen persahabatan serta perjuangan ‘komedi itu menyatukan’, dua kumpulan lawak dan sketsa popular Malaysia ini bersetuju untuk disatukan di dalam sebuah persembahan pentas muzikal anjuran Filloz Entertainment & LR Asia dengan kerjasama HMA Entertainment.

Gabungan syarikat dari Malaysia dan Singapura ini memilih untuk bekerjasama dengan kumpulan Bocey iaitu Achey dan Fad selain disertai oleh Shuib, Mamat Sepah dan Shuk Sahar mewakili Dol’s Podcast.

Menurut wakil Filloz International, Shafrizal Sharif, pihaknya amat berbesar hati membawakan barisan pelawak hebat Malaysia ke Singapura untuk memberi hiburan berganda kepada pengunjung.

“Kami yakin dan teruja sejak idea ini dicetuskan. Melihat pada reaksi peminat, pementasan komedi ini bakal memberikan kepuasan luar biasa dari perspektif hiburan ringan yang bersesuaian ditonton oleh seisi keluarga dan berbilang bangsa.

“Ramai yang rindukan Bocey kembali beraksi di pentas bersama-sama dan kali terakhir mereka dilihat bersama ketika arwah Abam masih ada, empat tahun yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah LR Asia, Liza Ramli selaku penganjur bersama dari Malaysia berkata, Bocey Comeback Live In Singapore adalah sebuah penganjuran mega memandangkan ia menyatukan dua kumpulan lawak terkenal di Malaysia dan bakal dipentaskan di Singapura.

“Bayangkan Bocey dengan energy komedi mereka yang sudah sinonim dalam kalangan peminat dan kini digabungkan pula dengan Dols Podcast yang sudah dikenali dengan lawak bersahaja.

“Kami berharap peminat Bocey dan Dols Podcast di Singapura tidak melepaskan peluang ini untuk berhibur sepanjang 100 minit persembahan mereka,” katanya.

Tambah Liza, acara ini seakan kesinambungan daripada kandungan Bocey Showcast yang mempunyai program sendiri di YouTube.

“Kebetulan Bocey sudah membangunkan showcast (gabungan showcase dan podcast) mereka sendiri dengan mengundang ramai selebriti terkenal dengan membincangkan pelbagai isu. Begitu juga Shuib, Shuk dan Mamat yang kini mendapat perhatian menerusi podcast mereka, Dol’s Podcast.

“Justeru cabang baru yang cuba mereka semua usahakan ini boleh direalisasikan dalam cara berbeza dalam pendekatan lebih menarik di atas pentas nanti,” katanya.

Kumpulan Bocey ditubuhkan pada 2012 selepas menyertai rancangan TV realiti Bintang Mencari Bintang terbitan TV3 kini diterajui oleh Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 33, atau lebih dikenali sebagai Fad Bocey serta Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 38.

Awalnya kumpulan yang pernah dinobatkan juara Maharaja Lawak Mega 2016 dan 2017 ini dianggotai tiga figura komedi namun seorang daripadanya, Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020.

Bagaimanapun perjuangan Bocey tetap diteruskan oleh Fad dan Achey namun aktiviti seni kumpulan yang pernah melancarkan album studio berjudul Perjalanan ini tidak serancak sebelum ini.

Kekangan masa dan komitmen kerja masing-masing adalah faktor utama yang menyukarkan untuk Fad dan Achey dilihat beraksi bersama untuk program TV atau pertunjukan pentas.

Namun atas inisiatif bagi terus mempertahankan jenama Bocey, dua pelawak kelahiran Johor ini muncul dengan idea memperkenalkan sebuah program kandungan digital disiarkan di youtube.

Menurut Fad, Bocey Comeback Live In Singapore adalah hadiah istimewa buat peminat yang menyokong Bocey sejak 12 tahun lalu khususnya di Kota Singa.

“Alhamdulillah walaupun Bocey tidak serancak dulu di TV, namun permintaan terhadap kami masih ada dan peminat tetap setia menyokong. Lihat saja Bocey Podcast yang mendapat sambutan positif sejak mula diperkenalkan kira-kira tiga bulan lalu.

“Malah idea serta keberanian untuk mengadakan Bocey Comeback Live In Singapore juga tercetus sejak kami berdua mengendalikan podcast bersama. Komen serta respon peminat memberikan suntikan semangat untuk kami kembali mendekati semua peminat terutama mereka yang jauh di Singapura,” katanya.

Achey bagaimanapun menyifatkan kehadiran kumpulan Sepah untuk memeriahkan lagi Bocey Comeback Live In Singapore sebagai satu kejutan yang manis untuk mereka.

“Sudah tentu saya teruja dengan idea pihak penganjur untuk mengundang Sepah bersama kami memandangkan keakraban kami sudah seperti keluarga sejak dulu lagi. Malah apabila mereka (Sepah) bersetuju, saya sangat bersyukur,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *