Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, MoU pada hari ini adalah mengenai kebajikan pekerja industri kreatif.
“Secara keseluruhan, MoU hari ini adalah mengenai kebajikan pekerja. Tapi, kita tahu di mana kalau kita menjaga kebajikan pekerja terutamanya berkaitan insuran, pekerja-pekerja ini ada pampasan dan sebagainya, ia akan secara langsung beri impak kepada seluruh projek.
“Penerbit sepatutnya menggunakan peluang ini untuk berjumpa dengan pelabur-pelabur dan mengatakan bahawa projek mereka ini memang pendekatan berasaskan penyelesaian menyeluruh,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Azmir, pelaksanaannya sudah mula dilakukan melalui Sistem Pengurusan & Pemantauan Industri Kreatif Negara (SPPIK) bagi mereka yang ingin mendaftar Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).
“Sebenarnya, sedikit demi sedikit kami laksanakan melalui SPPIK online untuk mendaftar SPP. Kalau buka sekarang, memang kami dah laksanakan.
“Dalam salah satu borang online itu sudah tertera, pastikan semua pekerja kru atau artis ada kontrak. Kedua, pastikan mereka ada caruman paling minimal, Perkeso dan KWSP.
“Kami sudah laksanakan. Cuma, benda ini kita tak boleh paksa. Tapi, kami sedang menggalakkan,” katanya.
Tambah Azmir, filem antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia melalui Perlaksanaan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (Fimi) sudah melakukan prosedur ini.
“Kalau kita buat perbandingan dengan filem-filem antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia melalui Fimi, mereka memang ada kesemua prosedur ini.
“Semasa dalam penggambaran ada insuran, ada doktor, ada kesemuanya termasuk kontrak pekerja dari atas, semua ada.
“Itu memang Hollywood. Sedikit demi sedikit, kita nak menggerakkan industri kita ini ke arah yang lebih profesional,” katanya.
Azmir berkata, pemantauan harus dilakukan kepada projek-projek bukan filem yang berskala lebih kecil, yang mana mungkin berdepan kekangan bajet.
“Kita faham, dalam situasi di mana projek filem kebanyakan mereka ikut prosedur-prosedur ini.
“Yang kita kena betul-betul pantau adalah daripada stesen TV, drama-drama bersiri atau projek-projek berskala kecil kerana ia bergantung kepada bajet. Kita pun faham.
“Jadi, kita sudah mula gerakkan perkara ini dan ia untuk semua pihak. Pekerja pun tahu hak mereka untuk meminta dan penerbit kena sediakan,” katanya.
Azmir turut menjelaskan kandungan taklimat yang diberikan KWSP kepada Finas mengenai kepentingan caruman KWSP.
“Daripada taklimat yang diberikan KWSP, setiap pekerja bebas ini sekurang-kurangnya mereka dah buka akaun. Bila mereka buka akaun i-Sara, ada manfaat untuk mereka.
“Dikhabarkan, contohnya dalam tahun ini sekiranya caruman mereka cukup RM3,500, kerajaan akan subsidikan RM500. Jadi, itu paling minima. Benda ini pun memanfaatkan ramai.
“Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan adakan townhall, berjumpa dengan industri dan terangkan mengenai perkara ini.
“Selain itu, bersama KWSP apa yang dipersetujui adalah untuk adakan ‘road show’ bagi menerangkan mengenai kepentingan mengawal kewangan ini secara umum,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara KWSP dan Finas.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengerusi KWSP, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman serta presiden-presiden persatuan.