Kuala Lumpur: Selepas empat tahun pelawak Abam meninggal dunia, kumpulan Bocey yang kini dianggotai Achey dan Fad dikatakan sudah ‘terkubur’ apabila sudah tidak muncul dengan projek baharu secara bersama di televisyen.

Menyedari perkara itu, Achey bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan perjalanan kumpulan Abam.

“Selepas ketiadaan Abam, Bocey belum ada sebarang projek persembahan bersama. Belum ada tawaran persembahan yang memanggil kami berdua dalam sebuah pentas untuk pasaran utama.

“Saya sedar stesen TV ini bukan milik kami. Jadi apa yang mampu kami buat adalah menunggu tawaran datang.

“Walaupun Bocey tiada tawaran program baharu di televisyen, tapi Alhamdulillah kami menerima pelawaan untuk mengadakan program di Capitol Theatre, Singapura pada 30 November depan.

“Ini adalah satu peluang untuk kami membuktikan Bocey masih ada. Program ini juga adalah pentas terbesar kami selepas ketiadaan Abam empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman persembahan pentas Bocey Comeback Live In Singapore, di sini, baru-baru ini.

Menurut Achey, selepas Abam meninggal dunia, kebanyakan tawaran yang datang adalah untuk menceritakan ketiadaan rakan baik mereka itu.

“Kebanyakan tawaran yang kami terima selepas Abam meninggal dunia adalah program untuk menceritakan selepas ketiadaan Abam.

“Saya rasa benda itu tidak membantu kami untuk memulakan langkah ke depan selepas ketiadaan Abam, tapi hanya untuk menceritakan segala kenangan. Sampai bila nak begitu kan?

“Saya rasa kalau arwah masih ada pun dia tak setuju kerana dia antara orang yang memperjuangkan nama Bocey untuk terus menghiburkan masyarakat,” katanya.

Menyentuh mengenai Bocey Comeback Live In Singapore, Achey berkata, dia dan Fad akan bergabung dengan pelawak terkenal tanah air yang membangunkan program Dol’s Podcast terdiri daripada Shuib, Mamat dan Shuk.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *