Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian tertinggi yang diterima penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Biduanita Negara pada majlis Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024), semalam.
Menurut Fahmi, pihaknya amat berbangga dengan kecemerlangan Siti dalam bidang seni suara.
“Tahniah Biduanita Siti Nurhaliza.
“Bagi pihak Kementerian Komunikasi khususnya, kami amat berbangga dengan pencapaian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang cemerlang dan bergemerlapan dalam bidang seni suara,” tulisnya dalam satu hantaran dimuat naik di Instagram hari ini.
Dalam masa sama, Fahmi turut berharap gelaran itu menjadi pembakar semangat buat pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu menghasilkan karya yang mampu membanggakan negara.
“Semoga dengan pengiktirafan ini, beliau akan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, Siti menerima Anugerah Khas, Biduanita Negara sempena ASN 2024 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.