Rezeki kesihatan itu ‘mahal’. Tidak kira usia muda atau sudah di tahap warga emas, kehadiran pelbagai penyakit yang ‘singgah’ di tubuh badan selalunya jarang disedari.

Pada ketika ini, ramai juga golongan selebriti tanah air berdepan masalah kesihatan seperti kanser, angin ahmar, kolestrol tinggi, kencing manis, jantung, masalah buah pinggang, gangguan mental dan sebagainya.

Semestinya, keadaan kesihatan ini berkait rapat dengan amalan gaya hidup harian iaitu mungkin tidak menjaga pemakanan, kurang bersenam, ‘stress’ dan masalah kehidupan seperti bebanan kewangan.

Namun, masih ramai golongan selebriti menjaga kesihatan diri terutama mereka yang kini berstatus warga emas dengan berkongsi kaedah penjagaan dilakukan untuk kekal sihat selain selalu berdoa.

Margaret Gan pilih hidangan rebus, buat pemeriksaan kesihatan

Pelakon veteran, Margaret Gan, 81, mula menjaga pemakanan sejak remaja dengan mengutamakan makanan bersup dan rebus termasuk kurang memakan daging berbanding ayam dan ikan.

Margaret berkata, sebagai orang Cina dia lebih suka makan hidangan rebus seperti sayur-sayuran, ikan dan ayam berbanding masakan goreng yang berminyak dan pedas.

“Saya tak cerewet makan pun, tapi biasalah kalau membesar dalam keluarga Cina, memang saya sudah terbiasa makan makanan bersup dan rebus-rebus saja. Saya kurang ambil minyak dan kalau makan yang rebus pun macam sayur, ikan dan ayam.

“Hidangan berdaging juga saya kurang ambil. Alhamdulillah syukur kepada Allah apabila Dia masih menganugerahkan kesihatan yang baik untuk saya. Selain itu, saya juga aktif berjalan kerana bersenam untuk sihat.

“Tidak hanya itu, anak juga akan bawa saya melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun di klinik kesihatan bagi mengesan penyakit di peringkat awal. Maklumlah, saya dah warga emas walaupun pemakanan dijaga,” katanya.

Margaret berkata, dia juga jenis tidak boleh duduk diam dan aktif menghadiri majlis anjuran persatuan disertainya jika ada jemputan, termasuk boleh lagi memandu kereta untuk jarak yang dekat dari rumah kerana tidak mahu ‘skill’ pemanduan hilang.

Pemilik nama sebenar, Gan Ee Kek ini memeluk Islam pada 15 Februari 2022 di usia 79 tahun, sekali gus merealisasikan impian anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 39, yang sentiasa berdoa ibunya mendapat hidayah Allah.

Kenji Sawahi jaga makan, rajin bersenam

Pelakon, Kenji Sawahi, 61, yang masih segak hingga kini tidak menafikan dia amat menjaga kesihatan dengan penjagaan pemakanan yang konsisten dan bersenam setiap hari.

Kenji yang masih bujang berkata, rezeki tidak putus dalam lakonan membuatkan dia perlu sentiasa sihat dan sebagai warga emas sudah pasti wajar mengutamakan penjagaan kesihatan diri berikutan sekarang pun ada banyak penyakit.

“Syukurlah hingga kini saya sihat serta tiada penyakit tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Ini kerana, saya memang jaga pemakanan harian dan bersenam untuk kesihatan setiap hari.

“Saya pastikan bersenam dalam tempoh masa mengikut kemampuan diri dan itu dilakukan bagi menjaga stamina. Lagipun, saya tidak suka orang panggil warga emas walaupun memang saya sudah berusia.

“Ini kerana saya merasakan diri masih kuat, sihat, bertenaga, aktif dan boleh bekerja. Jadi, dalam situasi sekarang saya bersyukur kerana Tuhan masih berikan kesihatan baik dan kena jagalah,” katanya.

Kenji atau nama sebenarnya, Lim Boon Wah berkata, walaupun usia hanya angka, namun penting baginya untuk memastikan juga kesihatan mental dan emosi terjaga dengan sentiasa berfikir yang baik-baik dan positif.

KENJI Sawahi. - FOTO Mohamad.shahril Badri Saali
KENJI Sawahi. – FOTO Mohamad.shahril Badri Saali
SARIMAH Ibrahim. -  FOTO Rohanis Shukri
SARIMAH Ibrahim. – FOTO Rohanis Shukri
AFIEQ Shazwan.
AFIEQ Shazwan.

Sarimah amal rutin makan sedikit tetapi kerap

Walaupun kini berusia 45 tahun, namun pengacara dan pelakon jelita, Che Puan Sarimah Ibrahim sangat menjaga kesihatan dirinya dengan mengamalkan pengambilan kuantiti makanan sedikit tetapi kerap sebagai rutin harian.

Selebriti wanita yang meledak dengan drama Lelaki Itu di TV3 sebagai watak Sharifah Qaidah ini berkata, dia memang sudah terbiasa makan dengan kuantitit yang kecil sebab mudah berasa kenyang.

“Setiap hari saya makan sedikit saja, tetapi kena keraplah. Mungkin beberapa hidangan sehari seperti sarapan, biasanya saya akan makan telur dadar. Begitu juga hidangan sama untuk diambil di tengah hari.

“Manakala, nasi pula saya ambil juga cuma dua atau tiga suap berserta sayur. Bagi minum petang dan makan malam, saya hanya makan sajian yang mempunyai protin seperti ayam dan sebagainya setiap hari,” katanya turut amalkan banyak minum air kosong.

Disebabkan jadual kerja seni yang kini padat, Sarimah berkata, dia juga ke gimnasium untuk bersenam bagi memastikan stamina diri sentiasa terjaga serta mendapatkan tidur yang cukup untuk tenaga bekerja di hari berikutnya.

Afieq Shazwan ‘kaki’ gimnasium untuk bersenam

Kesibukan bekerja dengan jadual padat diakui tidak menjadi halangan buat pelakon, penyanyi dan pengacara Afieq Shazwan, 27, mencari masa ke gimnasium untuk bersenam sebagai insiatif penjagaan dirinya.

Pemilik nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros ini berkata, dia sudah aktif ke gimnasium untuk bersenam kerana menjaga kesihatan sejak sembilan tahun lalu, berikutan mengamalkan juga diet seimbang.

“Saya tak nafikan memang tubuh badan tak nampak ‘sado’ pun, tapi itu bukanlah matlamat utama saya. Ini kerana, tujuan saya suka ke gimnasium hanya untuk bersenam bagi menjaga stamina diri.

“Macam yang diketahui, saya aktif sebagai pengacara, pelakon dan penyanyi, jadi mestilah kena ada stamina yang cukup. Kalau saya kurang bersenam dan amalkan diet seimbang, cepatlah ‘pancit’ terutama ketika menyanyi sambil menari.

“Selain itu, apabila bersenam saya juga mudah mengetahui kadar pengambilan kalori atau tenaga yang diperlukan badan. Contoh, jika dalam seminggu saya dah banyak bersukan seperti main futsal dan badminton, saya kurangkanlah tempoh masa di gimnasium,” katanya.

Afieq berkata, pemilihan jenis makanan diambilnya juga berbeza kerana apabila aktif bersukan pasti memerlukan banyak tenaga dan untuk sarapan paginya dia selalu makan sekeping roti putih atau beberapa keping biskut tanpa gula sebelum ke gimnasium.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *