KEHIDUPAN sebagai selebriti sudah pasti mencuri perhatian ramai. Tidak kecuali apa yang berlakvu kepada kumpulan popular dan sensasi seperti Dolla.

Mengakui perkara itu, anggota Dolla, Tabby atau nama sebenarnya, Tabitha Ariel Lam berkata dia tidak takut berdepan kontroversi seperti yang pernah dilalui rakan seperjuangannya, Sabronzo dan Angel.

Bagaimanapun, dia sebolehnya akan cuba mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang menjerat dirinya ke arah kontroversi.

“Saya tak takut sebab setakat hari ini, berdasarkan apa yang dilakukan, saya buat dengan niat baik.

“Tapi, sudah tentu saya akan cuba mengelak dan tak nak terbabit dalam sebarang kontroversi. Saya tak takut berdepan dengan kontroversi, tapi saya tidak mengimpikannya,” katanya.

Meskipun simpati melihat dua sahabatnya itu terpaksa menjawab setiap kali isu dibangkitkan, namun gadis berusia 24 tahun itu lebih selesa melihat perkara itu dari sudut positif.

“Sama ada mereka suka ataupun tidak, berita sudah tersebar dalam media sosial. Masyarakat tetap akan percaya meskipun berita belum terbukti kesahihannya.

“Tapi, saya percaya mereka sangat tabah dan sudah banyak melalui perkara sebelum ini. Ya, mereka pernah menangis di depan saya, cuma ia bukanlah disebabkan kontroversi, sebaliknya perkara lain terutama ketika sesi curahan hati sesama kami,” katanya.

Setakat ini, Tabby menjadi satu-satunya anggota Dolla yang belum terjebak dalam sebarang isu panas.

Sebelum ini, Sabronzo pernah menjadi mangsa kecaman netizen kerana penampilan seksi dan didakwa menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang ahli politik.

Bagaimanapun, Sabronzo menyangkal dakwaan dan menyifatkan cerita yang tersebar sebagai fitnah.

Sementara itu, Angel digosipkan bermain cinta dengan pelakon Amir Ahnaf hanya kerana kelibat aktor itu dilihat menghadiri konsert Dolla.

Sepakat menafikan gosip itu, kedua-duanya menjelaskan hubungan mereka sekadar berkawan baik.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *