DATUK Rosyam Nor dan Mas Idayu lantang menegur persembahan ‘Hijau’ dari pasangan adik-beradik, Zahid dan Anne yang dikatakan ‘tawar’ di pentas Famili Duo musim empat (FD4).
Biarpun bakat vokal mereka dipuji, persembahan itu disifatkan ‘kosong’ dek kerana gagal menyemarakkan aura memukau.
Teguran pedas ini adalah panggilan untuk Zahid dan Anne bangkit dengan lebih gah, menyuntik jiwa dan menyala di pentas.
Zahid dan Anne tampil berani dengan lagu ikonik Hijau oleh Datuk Zainal Abidin, namun persembahan mereka gagal menggegar pentas.
Rosyam memuji keberanian mereka mengangkat tema alam sekitar, namun menegaskan penghayatan Anne kurang mendalam, sementara Zahid hilang momentum di penghujung.
Mas Idayu pula tidak berselindung dalam kritikan, menyifatkan persembahan mereka ‘ke belakang’ dan mengecewakan dua minggu berturut-turut.
Dengan lirik yang terlupa dan koreografi yang kurang bertenaga, Mas Idayu menyarankan duo ini tampil memperkemaskan persembahan agar benar-benar dapat memukau juri dan penonton.
Zahid berpendapat kritikan yang diberikan oleh juri itu perlu diambil secara positif dan berusaha melakukan yang lebih baik.
“Kita boleh ambil iktibar. Dalam pertandingan ini, kita harus bersedia dari segi mental untuk segala komen daripada juri.
Walaupun saya sudah 20 tahun dalam industri, saya anggap diri saya baru dalam pertandingan ini. Jadi, kita kena bersedia mental untuk segala komen juri.
“Dalam program ini, saya bertanding bersama yang lain, jadi kritikan tu mungkin membawa kepada kejayaan, insya Allah. Bagi persiapan setiap minggu, ia agak mencabar sebab setiap minggu ada tema baru yang memerlukan perhatian khusus.
“Ia bukan soal tak pandai, cuma untuk pertandingan ini memang agak mencabar. Saya bersyukur dapat terus memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.
Persembahan minggu kedua ternyata milik pasangan sepupu Ayie Elham dan Salma Asis.
Mempersembahkan lagu-lagu klasik seperti Bujang Senang, Joget Siapa Dia dan Joget Berhibur yang asalnya dipopularkan oleh Wings, Wann dan Datuk Sri Siti Nurhaliza dengan bertenaga, kedua-dua mereka mendapat pujian bukan sahaja kerana vokal mereka, tetapi juga untuk ‘showmanship’ dan karakter yang ditampilkan sepanjang persembahan.
Dengan mendapat 10 markah penuh, Ayie dan Salma juga mendapat ‘standing ovation’ dari Mas Idayu dan Datuk Rosyam Noor di samping menerima tepukan gemuruh daripada penonton di studio sekali gus menerima wang tunai RM10,000 melalui persembahan terbaik mingguan.
Ayie, sebagai bekas pelajar teater menggunakan sepenuhnya apa yang dipelajarinya untuk menambah lagi kehebatan persembahan mereka.
Persoalannya, dapatkah duo sepupu ini mengekalkan momentum kemenangan mereka dan mempertahankan takhta sebagai juara mingguan serta juara carta keseluruhan, terutama dengan tema mencabar Hip Hop / Rap / Pop Dance yang menanti malam ini.
Tidak harus dipandang ringan terhadap persembahan duo adik-beradik Shiha dan Ieda Zikir yang turut memukau dengan persembahan mantap melalui gabungan elemen tradisional dan rock dengan keanggunan yang luar biasa.
Vokal dan persembahan yang teratur dari mereka juga meraih markah tinggi dari juri.
Sebaliknya, pasangan Didi Astillah dan Thamiera juga mengejutkan penonton dengan peningkatan ketara dalam persembahan dan vokal mereka berbanding minggu lalu.
Walaupun, Thamiera pernah menjadi viral, dikecam kerana persembahan sumbangnya, minggu ini dia tampil megah dengan membuktikan bahawa dia sebenarnya memiliki bakat menyanyi yang mengagumkan.