BUKAN mudah untuk membahagikan masa antara kerjaya seni dan rumah tangga supaya bergerak seiringan.

Namun, ia bukan penghalang buat pelakon dan penyanyi baru, Puteri Khareeza, 26.

Puteri Khareeza atau nama sebenarnya, Puteri Aszfaryna Khareeza Arif, berkata, dia memang seorang tidak boleh duduk diam dan sentiasa pastikan setiap masanya terisi dan pada masa sama, tidak mengabaikan tanggungjawab pada rumah tangganya dan suami, ahli perniagaan, Mohd Shukor Kamaruddin, 35.

“Saya pernah menjalin hubungan bertahun tetapi tiada hala tuju sebelum ini. Namun, ia berbeza bila bertemu suami. Kami hanya kenal empat bulan dan kami juga ‘bercinta’ selepas kahwin.

“Saya juga tidak menyesal kahwin pada usia muda kerana tahu suami seorang yang matang dan boleh menjaga diri ini termasuk menyokong kerjaya seni diceburi,” katanya yang kini menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ditanya pandangan mengenai gaya hidup perkahwinan tanpa anak atau ‘child free’, Puteri Khareeza berkata, dia tidak setuju dengan ‘trend’ itu.

“Kami sepakat tangguhkan dulu soal anak bukannya kerana sokong ‘trend’ itu, tetapi mahu fokus pada kerjaya seni dan pengajian dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Puteri Khareeza bakal mengadakan ‘showcase’ pertamanya, Sebenar di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 November ini.

MAHU  karier seni bergerak seiringan.
MAHU karier seni bergerak seiringan.

Dia yang bersyukur kerana diberi peluang itu berkata, sebagai penyanyi baru, sampai masanya dia kembangkan kerjaya dengan mengadakan ‘showcase’ yang juga impiannya sejak dulu.

“Selain dorongan daripada suami dan keluarga, saya juga dapat kerjasama dari pengurusan Alternate Records,” katanya.

Selain Puteri Khareeza yang akan menyampaikan 20 lagu, ia turut menampilkan artis jemputan seperti Haris Fayahet, Zazo Maulana, Maria Khairul (alumni program Lagu Cinta Kita 3) dan Adi Priyo (kumpulan Venus)

“Saya sasarkan seramai 500 penonton. Ia juga akan memaparkan perkembangan karier nyanyian saya dari program realiti TV hinggalah sekarang,” kata naib juara program Idola Kecil musim ketiga pada 2010 ini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *