“TERIMA kasih Rita Rudaini FC (RRFC) kerana terus menerus meraikan kejayaan saya. Anugerah ini juga atas usaha mereka. Jadi, tidak mengapa.”
Demikian kata pelakon terkenal Rita Rudaini, 48, apabila diraikan oleh kelab peminatnya sempena kejayaannya merangkul trofi Aktres Pembantu TV Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36) baru-baru ini.
Rita, 48, berkata, dia bersyukur dan terharu apabila dikelilingi peminat yang setia bersama sejak sekian lama dalam apa jua situasi.
“Alhamdulillah, selepas 27 tahun berada dalam industri mereka (peminat) saya terutama RRFC masih setia bersama. Kami tak ramai, tapi kami ada.
“Perhubungan kami bukan setakat antara artis dan peminat, tapi mereka ibarat kawan saya. Boleh dikatakan, ada saja aktiviti yang dirancang setiap tahun. Tidak lain, hanya untuk mengeratkan lagi silaturahim.
“Apa yang membuatkan saya terharu juga adalah kasih sayang yang ditunjukkan kepada saya dan anak-anak. Tidak kira dalam apa juga situasi yang saya lalui, suka atau duka, mereka ada bersama saya,” katanya.
Majlis bertemakan putih yang dihadiri lebih 20 peminat itu diadakan di sebuah pusat hiburan keluarga, di sini, semalam.
Menurut Rita, kejayaannya pada ABPBH36 dianggap rezeki biarpun itu adalah anugerah pertama buat dirinya.
“Perjalanan saya dalam bidang lakonan bukan mudah. Sepanjang hampir tiga dekad ini, pelbagai onak duri sudah dilalui. Semua itu memberikan pengalaman yang cukup berharga buat saya.
“Untuk terus kekal relevan dalam industri juga memerlukan banyak pengorbanan. Saya percaya, tanpa usaha dan kerja keras takkan boleh sampai ke tahap ini. Paling penting, sabar dan percaya kepada rezeki Allah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rita kini sibuk menjalani penggambaran travelog 3 Mak Dara yang bakal ditayangkan di saluran TVS (TV Sarawak) tahun depan.
Program itu menampilkan Rita bergandingan bersama Raja Azura dan Sharifah Shahora.