Kuala Lumpur : Pelakon Cristina Suzanne, 39, mengakui minatnya pada karier lakonan tidak pernah pudar dan akan terus berlakon selagi menerima tawaran kerana tidak merajuk serta dihalang oleh suaminya.
Cristina atau nama sebenarnya Cristina Suzanne Stockstill berkata, bagaimanapun dia dilihat seakan sudah berhenti berlakon selama lima tahun ini kerana memberi fokus pada penjagaan anak lelakinya, Noah.
“Saya tak berhenti berlakon lagi. Cuma, selepas dapat anak saya lebih fokus pada penjagaannya. Sebab, saya sedar yang diri tak mampu ‘multi tasking’ untuk buat banyak benda ketika itu.
“Lagi pun, saya tak nak emosi saya dan anak terganggu. Jadi, saya selesa fokus jaga anak. Tapi, dalam tempoh lima tahun yang macam nampak saya berhenti berlakon itu, sebenarnya tetap ada berlakon juga.
“Cuma, saya tak ambillah tawaran ‘shooting’ yang kadang-kadang sebulan hingga dua bulan sebab tak boleh nak bagi komitmen. Saya hanya terima tawaran berlakon yang biasa dan tak lama di set (penggambaran),” kata Cristina ketika ditemui Harian Metro selepas sidang media filem Babah.h
Cristina membawa watak sebagai Hayati dan isteri kepada lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu yang akan menemui penonton di pawagam mulai 5 Disember depan.
Menurut Cristina, dia juga ada mendengar cakap-cakap orang dalam industri yang mendakwa dirinya sudah tidak mahu berlakon lagi dan perkara itu sama sekali tidak benar.
“Saya ada juga dengar orang cakap yang saya dah tak nak berlakon. Jadi, saya jelaskan di sini yang saya tak marah sebab tahu saya pun jarang kemaskini hantaran terbaharu di media sosial macam Instagram (IG).
“Tapi, kepada semua saya nak beritahu saya masih berlakon lagi. Malah, saya juga tidaklah terlalu selektif memilih watak, cuma lebih meneliti karakter yang akan dibawa itu ada impak kelainan,” katanya.
Ujar pelakon filem Kil, Jwanita, CEO dan Sejoli: Misi Cantas Cinta ini, dia pun tak mahulah menolak rezeki lakonan yang datang kepadanya begitu saja kerana faham tindakan tolak rezeki tidak bagus.
Ditanya juga penerimaan suaminya apabila dia mahu aktif berlakon kembali, Cristina berkata, selama mereka berkahwin memang suami tidak pernah menghalangnya terus berlakon, namun tawaran yang tiada.
“Suami saya amat memahami minat berlakon isterinya. Dia (suami) tidak pernah menghalang pun atau suruh saya berhenti. Tetapi, tawaran berlakon yang tiada untuk saya sebab khabar angin tak betul yang tersebar.
“Saya juga dikatakan merajuk dengan industri, pada hal saya baik-baik saja di rumah melakukan rutin harian menjaga anak dan keluarga. Saya tiada pengasuh dan pembantu kerana lebih suka urus anak sendiri,” kata Cristina yang pernah merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2013.
Cristina bertemu jodoh dengan lelaki pilihannya dikenali, M Faiz Zakaria yang berasal dari Johor pada 31 Mac 2018.
Hasil perkongsian hidup bersama selama enam tahun itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah yang kini berusia lima tahun.