Malaysia memiliki budaya unik yang sentiasa berjaya mengukir nama di pentas antarabangsa. Antaranya seni batik yang menjadi identiti Malaysia, kini diangkat sebagai satu karya seni bersempena kehadiran filem aksi, Venom: The Last Dance.

Sony Pictures Malaysia baru-baru ini mengumumkan kerjasama menarik bersama artis tempatan, Arif Rafhan yang mempersembahkan siri seni unik, Siri Seni Venom X Batik diinspirasikan oleh watak ikonik Marvel, Venom dan tradisi batik Malaysia.

Gabungan luar biasa antara budaya pop dan warisan ini meraikan kehadiran filem Venom: The Last Dance sambil memperkenalkan wajah baharu yang berani kepada antihero kesayangan ramai, sekali gus menonjolkan akar seni Malaysia.

Pengarah Urusan Sony Pictures Entertainment Malaysia, Simon Foo berkata, ini adalah contoh terbaik bagaimana sesuatu yang fenomena seperti filem aksi itu, digabungkan dengan budaya tempatan.

“Kami sangat berbangga dapat bekerjasama dengan Arif Rafhan untuk merealisasikan konsep unik ini. Projek ini adalah contoh hebat bagaimana kita dapat menggabungkan fenomena budaya pop global dengan warisan tempatan, menghasilkan sesuatu yang benar-benar istimewa untuk penonton Malaysia,” katanya.

Arif yang cukup dikenali sebagai artis yang sering menggunakan elemen budaya dalam seni kontemporari yang dihasilkan berkata, karya ini adalah sesuatu yang dekat dengan jiwanya sebagai artis batik dan pada masa sama menggabungkan dengan watak yang kuat seperti Venom.

“Venom adalah watak yang sangat menarik dengan identiti visual yang kuat. Dengan menggabungkan elemen itu dengan batik, yang sangat peribadi bagi saya dan warisan Malaysia, saya ingin mencipta sesuatu yang terasa akrab, tetapi segar. Ia adalah satu perayaan kedua-dua dunia,” katanya.

Siri Seni Venom X Batik ini membayangkan semula simbiot Venom yang terkenal melalui corak batik yang rumit, menggabungkan estetika gelap dan tajam dengan keanggunan serta keindahan seni tekstil tradisional Malaysia.

Tafsiran Arif memberikan nafas baharu kepada Venom, dengan mengadunkan bentuk cecair motif batik bersama visual tajam dan huru-hara yang menjadi ciri ikonik Venom.

Kerjasama unik antara Sony Pictures Malaysia dan Arif Rafhan ini menjadi bukti usaha berterusan untuk merapatkan budaya pop global dengan tradisi tempatan, menawarkan sambungan istimewa kepada alam Venom buat penonton Malaysia.

Siri Seni Venom X Batik ini juga kini dipaparkan di pelbagai platform, termasuk kandungan digital serta kandungan istimewa di pawagam GSC sempena tayangan Venom: The Last Dance.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *