Kuala Lumpur: Selepas kerjasama dengan kumpulan dari Indonesia, Govinda mencetus kejayaan, Ernie Zakri, 32, bakal berganding pula dengan artis dan komposer lain dari negara itu.
Bagaimanapun, Ernie ketika ditemubual belum bersedia untuk mendedahkan siapa artis terbabit.
“Apa yang saya boleh katakan, ada. Perbincangan untuk bekerjasama dengan mereka memang ada. Tunggu pengumumannya nanti,” katanya.
Terdahulu, kerjasama Ernie dengan Govinda menerusi lagu Masing-Masing berjaya membuatkan nama Ernie dikenali di Indonesia. Ia meraih lebih 20 juta tontonan di YouTube sejak dimuatnaik hampir setahun lalu.
Ia juga membawa Ernie menjadi artis Malaysia pertama tercalon di anugerah berprestij Indonesia iaitu SCTV Music Awards.
Lebih membanggakan apabila lagu Masing-Masing yang digubah dan ditulis oleh Ade Govinda bersama Nabila V menduduki tangga teratas carta stesen radio di kedua-dua negara, iaitu GEN98.7 FM Jakarta di Indonesia serta Best FM dan Era FM di Malaysia.
Ernie yang terkenal dengan vokal mantap serta kebolehan menyampaikan lagu-lagu penuh emosi, turut meluahkan rasa terharu atas sokongan luar biasa peminat.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang terus menyokong perjalanan seni saya. Ini hanya permulaan kepada lebih banyak perkara menarik yang akan datang,” katanya.
Selain itu, Ernie juga akan meneruskan konsert solonya pada Jun tahun depan di Singapura untuk menebus balik kepada peminat yang tidak sempat membeli tiketnya pada konsert di Kuala Lumpur.