Kuala Lumpur: Pelakon, Azlan Komeng isterinya, Nur Nilam Ortiz menghalalkan wang sebanyak RM10,000 milik mereka sekiranya ia diambil oleh mana-mana individu.
Wang hasil berniaga itu hilang bersama beg pada hari mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kuala Lipis, Pahang, 12 Oktober lalu.
Nur Nilam menerusi video dimuat naik di TikTok berkata, sehingga sekarang mereka masih belum menerima panggilan atau mesej daripada sesiapa yang mahu memulangkan wang itu.
“Sebenarnya, kami sedia maklum yang kami takkan dapat duit itu balik. Jadi, selepas difikirkan semua perkara, kami berbincang dan berfikir, tak mengapalah, demi Allah demi Rasul, akak dan abang halalkan duit itu dunia akhirat,” katanya.
Nur Nilam berkata, mereka reda dan halalkan wang itu kerana yakin rezeki mereka adalah daripada Allah.
“Kami halalkan supaya jalan kami mudah, urusan kami mudah dunia akhirat, Allah mudahkan dan lapangkan rezeki kami.
“Kami pun tak nak berfikir-fikir benda-benda begini lagi sebab kalau rezeki, tetap rezeki dan kalau bukan rezeki, kat dalam mulut pun boleh terkeluar.
“Tak apa, Insya-Allah, untuk awak yang ambil duit akak, demi Allah dan demi rasul akak dan abang halalkan supaya benda ini menjadi asbab untuk awak berubah. Insya-Allah kita doakan,” katanya.
Terdahulu, Azlan yang dirawat di hospital mendedahkan mengenai kehilangan wang itu.
“Pada hari kemalangan itu, apa yang kami tak sedari, duit hasil perniagaan hari itu, tak tahulah tercampak ke mana ke, terjatuh di dalam kereta ke, dan kalau ada sesiapa yang terjumpa dan sudi pulangkan, bolehlah hubungi saya atau isteri,” katanya.
Azlan, Nur Nilam dan anak mereka, Adam terbabit dalam kemalangan japan raya ketika dalam perjalanan pulang ke ibu kota dari Pahang.
Azlan mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, siku tangan kanan, tulang pinggul kanan lari, kaki kiri luka dalam dan patah, manakala Nur Nilam cedera di tulang rusuk, muka dan kepala akibat terhentak.
Pada kejadian kemalangan yang berlaku jam 2 pagi itu, Azlan memandu kereta jenis Perodua Kancil bertembung dengan trak polis dan Azlan memaklumkan keadaan kerosakan kereta itu adalah ‘total loss’ (rosak sepenuhnya).