Filem yang mengangkat kisah manusia yang berjuang menyelamatkan nyawa daripada ancaman zombi bukan sesuatu yang asing.
Namun, filem dari Thailand berjudul Operation Undead mungkin menampilkan sedikit kelainan dalam jalan ceritanya walaupun masih berteraskan kisah serangan zombi.
Diarahkan Kongkiat Komesiri, filem zombi ini tentunya membawa konteks berbeza buat penonton, lebih-lebih lagi bagi peminat filem dari Thailand dan genre aksi peperangan.
Berkongsi mengenai idea di sebalik pembikinan filem Operation Undead, Kongkiat berkongsi bagaimana idea yang selalunya dikembangkan dalam filem barat itu perlu diterjemahkan dalam filem peperangan Thailand.
“Projek ini bermula apabila Infocusasia Co Ltd (IFA) menghubungi kami untuk membincangkan mengenai pengarahan sebuah filem. Pada awalnya, saya hanya tahu sedikit mengenai IFA, selain fakta bahawa ia sebuah syarikat media yang berpusat di Singapura.
“Mereka memberitahu kami bahawa mereka ingin menghasilkan sebuah filem zombi yang berlatarbelakangkan peperangan. Kami perlu melakukan kajian lebih mendalam mengenai konsep zombi kami dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan peperangan dalam konteks itu.
“Idea mengenai peperangan ini kemudian berkembang. Akhirnya membawa kami kepada konsep persaudaraan. Apabila arah tuju semakin jelas, filem ini mengisahkan persaudaraan, ikatan serta perpecahan, dengan zombi berfungsi sebagai pemangkin kepada cerita,” katanya.
Berkongsi mengenai keseronokan dalam membikin filem ini, Kongkiat berkata, ia adalah pengalaman menarik apabila berpeluang mencipta sendiri konsep zombi versi Thailand supaya ada identiti sendiri.
“Bahagian yang paling menyeronokkan dalam membuat filem zombi adalah menentukan ciri-ciri zombi dalam konteks filem Thailand. Ini adalah perkara yang menjadi fokus utama, lebih daripada aspek lain.
“Proses ini boleh menjadi mudah atau sukar, namun sering kali orang terperangkap dalam tanggapan bahawa genre yang sering dihasilkan memerlukan pendekatan serba baharu.
“Kami tidak berniat mencipta zombi paling unik di dunia. Sebaliknya, kami mendapati bahawa kami boleh membezakan diri dengan kekal dalam format tradisional, sambil memberikan kehidupan baharu kepada zombi.
“Zombi dalam filem kami masih mengekalkan elemen yang dikenali, namun kami memberikan alasan yang lebih dipercayai dan munasabah untuk kewujudan mereka.
“Matlamat kami adalah membuatkan penonton mempercayai bahawa apa yang ditampilkan dalam filem ini boleh berlaku, melalui cara penyampaian kami yang realistik,” katanya.
Sementara itu, pelakon, Awat Ratanapintha yang memegang watak sebagai Mok berkata, melakonkan watak lebih muda adalah satu cabaran kerana sifat Mok sangat berbeza dengan kehidupan peribadinya.
“Namun, ia juga memberi kepuasan kerana ia memaksa saya meneroka sisi muda dalam diri saya, yang biasanya hanya saya tunjukkan dalam persekitaran yang selamat seperti ketika bersama rakan-rakan.
“Bekerja dengan pelakon yang lebih muda, terutama mereka yang memegang watak tentera muda, membantu saya berhubung dan menonjolkan sisi ini.
“Rakan pelakon yang paling muda adalah 12 tahun lebih muda daripada saya, yang menjadikan keperluan untuk membina hubungan dan memecahkan jurang usia semakin penting.
“Melihat semangat dan tenaga mereka memberi inspirasi kepada saya memberikan yang terbaik. Apabila kami semakin rapat, ia sedikit sebanyak membantu saya menghidupkan watak Mok dengan cara lebih berkesan,” katanya.
Tidak hanya itu, satu cabaran juga buatnya apabila perlu menjayakan watak sebagai zombi. Memainkan watak zombi dalam filem ini adalah satu cabaran sangat besar. Ketika saya mula-mula membaca skrip, saya merasakan bahawa ia adalah cabaran yang menakutkan, tetapi saya tidak sabar menghadapinya.
“Saya memilih peranan ini kerana ia memberi peluang untuk mendalami watak zombi yang berusaha mendapatkan kembali jiwa kemanusiaannya serta belajar memiliki hati dan jiwa semula.
“Peranan ini bukan sahaja mencabar buat saya sebagai pelakon, tetapi juga untuk kru dan pengarah, Kome yang berhasrat mencipta sesuatu yang baharu dan segar,” katanya.
Seorang lagi pelakon, Chanon Santinatornkul yang memegang watak Mek pula berkongsi mengenai cabaran terbesar dalam menjayakan filem kali ini.
“Sejujurnya setiap babak memang sangat meletihkan kerana penggambaran berlangsung dari Januari hingga April dan cuaca pada tahun ini sangat panas. Adegan aksi pula benar-benar memenatkan.
“Babak yang paling mencabar bagi saya ialah tiga babak terakhir. Walaupun saya sudah biasa dengan adegan dramatik, babak ini mempunyai kerumitan yang lebih, dari segi emosi dan elemen lain,” katanya.
Di Malaysia, Operation Undead mula ditayangkan di pawagam mulai hari ini.