Kuala Lumpur: Bekas isteri kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar mendedahkan hubungan antara mereka berdua berada dalam keadaan baik walaupun sudah berpisah. 

Ira ketika dihubungi Harian Metro berkata, walaupun rumah tangga mereka tidak bertahan lama, namun masing-masing tidak menyimpan dendam.

“Kami sedar tidak semua hubungan berjalan seperti yang dirancang. Namun, itu tidak bermakna kami harus bermusuh. 

“Kami masih berhubung dan berkongsi pandangan mengenai perkara-perkara tertentu. Hubungan kami sekarang lebih kepada rakan,”katanya.

Menurut Ira, keputusan untuk tidak bermusuhan adalah jalan terbaik buat mereka, terutamanya dalam memastikan kesihatan mental dan emosi masing-masing. 

“Kami berdua layak untuk kebahagiaan masing-masing. Saya dan Syamsul nak lalui kehidupan dengan tenang.

“Orang luar tidak akan memahami sepenuhnya apa yang berlaku, jadi lebih baik kita fokus kepada apa yang penting dalam hidup kami,” katanya.

Dalam masa sama, Ira memberitahu, dia kini sibuk memberi fokus kepada karier seni termasuk single duet bersama Alan D berjudul Tak Kisah. 

“Saya mahu teruskan hidup dan fokus kepada kerjaya. Banyak perkara positif yang saya nantikan.

“Apa yang penting, kita semua belajar daripada pengalaman dan terus bergerak ke depan. Saya doakan yang terbaik untuk Syamsul, dan saya pasti dia juga mendoakan yang sama untuk saya,” katanya.

Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu sekali gus jatuh talak satu.

Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *