Siapa sangka, selepas melalui episod perceraian, pelakon, Hisyam Hamid kini diduga dengan gosip yang tidak diundang apabila sering kali dikaitkan dengan ramai wanita.
Keadaan ini menyebabkan Hisyam serba salah dan terpaksa mengehadkan interaksi dengan kaum hawa demi mengelak daripada terus menjadi bahan bualan ramai.
Sebagai individu yang sering mendapat perhatian ramai, Hisyam mengakui tekanan yang dirasai semakin memuncak apabila gosip terbabit muncul dengan begitu mudah, berbanding ketika masih bergelar suami.
“Saya lebih rimas sekarang sebab senang ‘benda’ nak dijadikan cerita. Dulu ketika masih berkahwin, tiada pula ‘benda’ begini.
“Takkan saya tak boleh nak ada kawan wanita? Ia makin pelik, tapi saya perlu lebih berhati-hati ketika berkomunikasi atau berbaik dengan kawan wanita.
“Saya tak nak ada gosip yang tak betul lagi,” katanya.
Tambahnya, dia mengaku dihujani pelbagai spekulasi yang tidak benar, termasuk daripada rakan terdekat dan orang sekeliling.
“Ada juga orang sekeliling bertanya yang minta kepastian mengenai apa saja gosip yang mengaitkan saya.
“Sehinggakan anak buah saya tanya, sejak bila saya kahwin lagi? Ada orang komen yang saya bukan duda selepas berkahwin dengan orang biasa,” katanya.
Dalam mengharungi cabaran sebagai duda, Hisyam kini lebih fokus kepada dua insan yang amat berharga dalam hidupnya iaitu anak-anaknya.
Keutamaan Hisyam sekarang adalah menjaga hati mereka, membuatkannya lebih selesa dengan kehidupan solo.
“Saya rasa saya belum ke arah itu (cari pasangan). Jadi, saya nak elak gosip sebegitu terutama kerana saya kena jaga hati anak-anak saya,” katanya.
Kekesalan Hisyam ini jelas menggambarkan cabaran yang dihadapi seseorang selebriti apabila setiap langkah dan tindakan menjadi perhatian umum.
Bagaimanapun, apa yang paling penting bagi Hisyam sekarang adalah memastikan dirinya kekal tenang dan terus memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting iaitu anak-anak dan kerjaya.
Sebelum ini Hisyam meraih perhatian selepas mengesahkan dirinya bercerai dengan isteri, Rosmawati Hanafi atau lebih dikenali sebagai Mel.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15.