Menyambut kehadiran cahaya mata kedua umpama satu lagi rahmat dan anugerah buat keluarga pelakon, Raja Ilya.

Lebih unik lagi, bayi lelaki yang dilahirkan Rabu lalu dengan berat 4.7 kilogram itu diberikan nama unik, Royal Abraham.

Pelakon yang kini menetap di Australia bersama suami, Trent Garret serta cahaya mata pertamanya, Talita Love, Ilya berkongsi rasa bahagia dan kisah di sebalik nama unik anak keduanya itu.

“Trent sukakan nama yang unik dan antara puluhan nama yang kami dah senaraikan, dia masih tertarik dan jatuh hati dengan nama Royal.

“Katanya nama itu unik dan tidak kedengaran terlalu biasa. Kalau di sebelah barat, nama Royal itu hanya nama dan tak ada sebarang maksud mahupun membawa erti keluarga diraja atau apa,” katanya.

Menurut Ilya, jika Royal adalah pilihan suaminya, dia pula ingin menamakan anak mereka dengan nama Abraham.

“Saya pula nak letakkan nama Abraham. Akhirnya, kami gabungkan sahaja kedua-dua nama itu sebab lebih mudah dan kami berdua pun gembira. Maka, jadi Royal Abraham,” katanya.

Berkongsi mengenai keterujaan Talita menyambut kehadiran adiknya, Ilya berkata, mungkin perasaan puteri sulungnya itu bercampur baur.

“Talita macam terkejut juga ketika kali pertama melihat adiknya. Selalunya, kalau bangun pagi dia akan tengok perut saya dan ucapkan selamat pagi Royal. Tiba-tiba, pagi itu dia nampak Royal dah di ‘luar’. Jadi, nampak dia teruja dengan kehadiran bayi ini.

“Tapi, pada masa sama saya nampak dia macam sedih juga. Mungkin dia tengok dah tiga hingga empat hari mak dia tak ada di rumah dan asyik bersama Royal,” katanya.

Terdahulu, Ilya berkongsi perjalanannya yang panjang ke tiga hospital sebelum dapat mencari hospital sesuai untuk bersalin.

Ilya dan suami juga membuka akaun Instagram khas untuk Royal sejak 27 Julai lalu dan kini mengumpul lebih 2,000 pengikut.

Untuk rekod, Ilya dan Trent berumah tangga pada 2018.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *