Menampilkan budaya masyarakat menarik serta menyentuh jiwa memberi inspirasi kepada produksi MyContent Distribution Sdn Bhd menghasilkan filem berjudul Tegkang.

Filem berlatarkan kisah di sebuah kampung pedalaman yang damai, satu rahsia yang tersimpan rapi terbongkar secara tidak sengaja sehingga mencetuskan sebuah kisah cinta yang menguji ikatan seluruh komuniti.

Tegkang meneroka kehidupan di sebuah kampung terpencil di Bario, di mana rahsia yang sudah lama tersimpan mula terdedah dengan kehadiran pelancong iaitu Hanafi yang berkawan dengan Rinai, seorang gadis yang menetap di kampung berkenaan.

Filem ini menampilkan pelakon terkenal tanah air, Syafie Naswip, Michelle Lungan, Hezekiah Asim, Pun Ratu Aran dan Lian Tarawe.

Penerbit Eksekutif, Lyn Nasihin berkata, perkataan Tegkang diambil daripada bahasa kaum Kelabit di Sarawak yang bermaksud Pelangi.

“Idea asal jalan cerita filem ini adalah daripada pengarah iaitu Josh Nawan. Ketika sesi perbincangan, dia berkongsi konsep dan jalan cerita cukup menambat hati saya.

“Ia bukan sekadar sebuah cerita cinta semata-mata, tetapi turut mengangkat tema kasih sayang, kebebasan dan sikap berpegang pada janji,” kata Lyn yang menggunakan 99 peratus pelakon tempatan kaum Kelabit dan penggambaran juga hampir keseluruhannya dilakukan di Bario.

“Menariknya mengenai Tegkang adalah paparan budaya dan kehidupan masyarakat kaum Kelabit yang jarang diketengahkan dan kurang diketahui masyarakat luar.

“Ia antara kelainan yang cuba ditampilkan memandangkan masyarakat lebih mengenali Sarawak dengan kisah ‘headhunting’ (pemburu kepala) atau Bujang Senang. Sedangkan Sarawak cukup kaya dengan pelbagai budaya menarik serta tempat cukup indah,” katanya.

Sementara itu, Josh selaku pengarah pula memberitahu idea untuk menghasilkan filem berkenaan tercetus berdasarkan pengalamannya sendiri dibesarkan di kawasan pedalaman.

SYAFIE Naswip sebagai teraju utama.
SYAFIE Naswip sebagai teraju utama.

“Sebenarnya jalan cerita dalam filem Tegkang ini ada berkait rapat dengan kisah mengenai datuk saudara saya.

“Memandangkan saya membesar dengannya, jadi saya rasa kisahnya itu sangat menarik untuk diolah menjadi sebuah naskhah filem,” katanya.

Mengakui terpaksa berhadapan beberapa cabaran sepanjang penggambaran, Josh menyatakan ia langsung tidak melemahkan semangatnya.

Katanya, untuk menjalani penggambaran di sebuah kawasan pedalaman ternyata bukan suatu perkara cukup mudah.

“Pertama sekali adalah dari segi logistik kerana perjalanan untuk ke Bario sahaja mengambil masa 15 jam melalui jalan darat dari bandar terdekat.

“Malah cuaca pula agak sejuk ketika penggambaran sehingga ada beberapa kru yang jatuh sakit. Apa pun kami lega kerana semuanya tetap berjalan lancar,” katanya.

Sebagai pengarah, Josh meluahkan harapan supaya naskhah sulungnya itu mendapat tempat di hati penonton.

Tegkang yang menemui penonton di pawagam seluruh tanah air mulai 28 November depan mencipta sejarah tersendiri apabila meriah pelbagai pengiktirafan awal.

Filem ini memenangi Anugerah Juri di Festival Lift-Off yang dihoskan oleh Pinewood Studios UK baru-baru ini.

Selain dipilih sebagai Filem Penutup Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2024 serta menang beberapa kategori seperti Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Filem Cereka Terbaik di acara Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024 yang berlangsung di Kuching pada September lalu.

FILEM Tegkang temui penonton mulai 28 November depan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *