PENGANJURAN acara hiburan dikenali OMG OktoberFest 2024 yang pertama kali di negara ini menjamin ‘bersih’ daripada anasir liar, termasuk penjualan minuman keras Oktober ini.

Bakal berlangsung di Monkey Canopy Resort, Bandar Sungai Long, Selangor, acara OMG OktoberFest 2024 menyediakan pelbagai program menarik kepada pengunjung selama tiga hari berturut-turut.

Wakil Oktober Music Fest, Hafiidzzul Nizal Zulkhefli berkata, pihak penganjur acara memang sudah sedia maklum bahawa pesta hiburan membabitkan OktoberFest ini amat sinonim dengan budaya di barat.

“Jadi, persepsi negatif seperti acara liar itu sedikit sebanyak pasti ada dan tidak dapat dielak kerana nama digunakan yang seakan sama. Namun pengolahan acaranya di Monkey Canopy Resort nanti adalah sangat berbeza sebab kita masih kekalkan budaya timur.

“Kalau penganjuran pesta ini yang menjurus muzik di luar negara sinonim dengan liar dan minuman, tapi di sini kita (penganjur) jamin tiada penjualan minuman keras akan dibuat kepada pengunjung.

“Oleh itu, jangan risau acara ini hanya nama saja OMG OktoberFest kerana ia akan berlangsung pada bulan Oktober ini dan sama sekali tiada kaitan dengan penganjuran sebagaimana di luar negara itu,” katanya.

Menurut Hafiidzzul, bagi penganjuran di negara ini, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan dua konsert pada malam Sabtu dan petang Ahad, selain dimuatkan juga program sampingan lain merangkumi gerai jualan makanan dan barangan ‘halal’.

TURUT sertai, kumpulan K.O.I dianggotai Achoi, Myaa dan Khaza.
TURUT sertai, kumpulan K.O.I dianggotai Achoi, Myaa dan Khaza.

Katanya, selaku penganjur acara hiburan seperti persembahan konsert yang dah ada pengalaman sangat lama di tanah air, pihaknya amat mengutamakan keselesaan serta menjaga sensitiviti masyarakat.

Tarikan utama OMG OktoberFest 2024 adalah dua konsert iaitu Rave Party yang membariskan artis seperti Chukiess & Whackboi, Nahsyk, Sherry Alyssa dan Janiss Foong.

Pada sebelah siang pula dari jam 5 petang sehingga 7 malam, diadakan acara Tour de Fun Run untuk memenuhi keinginan peminat sukan dan aktiviti kecergasan.

Turut akan diadakan Hip Hop Tea Dance Party yang menampilkan artis hip-hop tempatan seperti Aman Ra, MK, Benzooloo, DJ Fuzz, K.O.I, 53 Universe, B-Heart dan Danial Bogers dari jam 3 petang hingga 7 malam.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga berpeluang menjelajah pesta makanan dan jualan barangan diadakan dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan secara percuma.

OMG Oktoberfest 2024 adalah anjuran OMG Music Festival dengan kerjasama Idea Music KL bersama solongan MLB, Monkeys Canopy Resort serta pengurusan artis, Asia Empire.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *