Erysha Emyra menerima dan memenangi trofi bagi kategori Artis Baharu Perempuan Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Auditorium MBSA, Shah Alam. FOTO TEAM ABPBH
Shah Alam: Pelakon Shah Radhy, 28, sebak dan tidak sangka menang trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 36 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.
Shah atau nama sebenarnya Muhammad Shah Radhi Hazvee berkata trofi itu jadi bukti perjuangannya yang turun naik dalam industri seni selama ini.
“Saya sebak teringat bermula dengan modal RM20 datang Kuala Lumpur waktu masih berusia 20 tahun dan tak ada kerja tetap. Anugerah ini bukti saya wujud.
“Syukur dengan rezeki yang Allah bagi selepas berjuang kejap ada kejap tiada dalam industri. Orang tahu macamana nasib saya. Tak sangka pun nak menang.
“Ya saya ada berkempen, peminat sejak dulu sokong dan kami saling berhubung. Saya pun dua hari baru tahu dicalonkan sebelum ini,” katanya.
Pelakon drama Mencari Kiblat Cinta itu menewaskan Danial Kifli, Hasif Upin, Izuan Razali, dan Putera Muhammad dalam kategori itu.
Sementara, trofi Artis Baharu Wanita Popular pula menjadi milik Erysha Emyra yang menewaskan Ezzanie Jasny, Raden Zaharatul, Trisha Ooi, dan Tracie Sinidol.
“Kemenangan ini mendorong saya untuk terus menjadi baik pada masa depan. Saya akan cuba pelbagai watak lagi dalam lakonan, harap ini jadi batu loncatan,” katanya.
Erysha Emyra memenangi trofi bagi kategori Artis Baharu Perempuan Popular bersama Shah Radhy yang memenangi trofi bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Auditorium MBSA, Shah Alam. FOTO TEAM ABPBH