Aina bersama peminat.
Shah Alam: Penyanyi Aina Abdul mencuri perhatian pada Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 apabila hadir menaiki sebuah bas bersama lebih 30 peminat setianya ke Auditorium Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam ini.
Lebih menarik, bas yang dinaiki Aina dan kelab peminat dikenali Ainations ‘dibaluti’ dengan poster besar konsert jelajah pertamanya, Konsert Aina Abdul Imaji Tour, yang bakal berlangsung di tiga negeri.
Poster itu menampilkan wajah Aina serta butiran mengenai konsert yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah.
Tidak hanya mengejutkan dengan bas yang dihiasi poster, Aina turut memukau ramai dengan persalinan pakaian tradisional, Kebarung berwarna emas dan perak rekaan pereka tempatan, Amazae.
Busana yang dipakai Aina menyerlahkan elemen avant-garde yang sering menjadi tanda ikonik gaya penyanyi berbakat besar ini sekali gus memperkukuhkan imejnya sebagai salah satu bintang yang paling berani dan kreatif dalam berfesyen.
Pada ABPBH 36, Aina tercalon dalam satu kategori utama, iaitu Penyanyi Wanita Popular dan bersaing dengan empat penyanyi hebat iaitu Ernie Zakri, Adira Suhaimi, Siti Nordiana dan Stacy.
Malam kemuncak ABPBH 36 akan dikendalikan tiga pengacara, iaitu artis versatil, Didie Alias yang pernah menjadi hos acara berprestij itu pada 2011, pelakon Riena Diana dan penyampai radio Fly FM, Haniff Hamzah.