Kuala Lumpur: Konsert berskala besar, Drama Band, The Hardest Malam Drama yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur buat julung kalinya berjaya menarik hampir 2,000 penonton di sini, malam tadi.
Bukan sahaja menampilkan vokal mantap, vokalisnya, Aepul Roza, Drama Band yang dianggotai enam anak muda berbakat besar ini juga berjaya menampilkan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang durasi konsert tiga jam itu.
Aepul yang juara program The Hardest Singing Show musim pertama juga berulang kali mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir.
“Banyak cabaran dilalui untuk mengadakan konsert sulung kami ini dengan persiapan kurang dari dua bulan.
“Kami sebenarnya sangat berterima kasih kepada peminat yang sanggup membeli tiket dan penaja Alha Alfa Cosmetics yang sudi bekerjasama untuk menjayakan konsert ini,” katanya.
Konsert ‘The Hardest Malam Drama’ ini juga adalah penutup siri jelajah kumpulan itu pada tahun ini. Selain Aepul Roza, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2010 itu menampilkan Adib (Gitaris), Padel (pemain gitar), Daus (Bass) Syahmir (Keyboardist) dan Faeez (dram).
Kumpulan Drama Band menghiburkan peminat menerusi rangkaian 23 lagu termasuk dari single baharu mereka FYP.
Persembahan terbahagi kepada tiga set dan membabitkan beberapa segmen iaitu drama, galau termasuk melompat atas trampolin.
Antara rangkaian lagu disampaikan seperti Kayangan, JBKT, Cerita Dia, Hanya Kamu, Nakal, Mentera Semerah Padi, Satu Satu, Dikoyak Waktu, Entah Apa, Biarkanlah, Gatal, Melompat lebih tinggi, Hapus Aku, Bunga Angkasa dan It’s My Life.
Lebih bermakna, Aepul turut mengundang isterinya, Leez Rosli untuk menyampaikan lagu duet dengannya di pentas.
Tidak dapat dinafikan, Leez yang juga bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia itu juga boleh menyanyi dengan baik bersama suaminya di pentas.
Selain Leez, Aepul turut berduet dengan seorang penyanyi yang juga peserta dari program The Chosen One Astro, Kiki Fateeha, 13 tahun.
Tidak ketinggalan, penampilan penyanyi, Putera Muhammad selaku artis jemputan.
Terdahulu, Drama Band pernah melakar sejarah sebagai finalis Anugerah Juara Lagu edisi ke-30 dan ke-34 melalui lagu hit mereka, Biarkanlah dan Drama.