Kuala Lumpur: “Kami takkan lepas tangan terhadap Napie. Dalam keadaan begini kami faham dia tak dapat bekerjasama dengan kami.” kata Tam Spider.
Vokalis kumpulan Spider itu mengulas keadaan terkini pemain gitar mereka yang diserang angin ahmar pada Julai lalu dan menjalani pembedahan di bahagian otak di Hospital Sungai Buloh.
Menurutnya, atas tanggungjawab, kebajikan dia dan keluarganya tetap dijaga mereka walaupun bukanlah sepenuhnya.
“Kami prihatin dengan keadaan isteri dan tiga anaknya. Isterinya terpaksa bergelut, ambil cuti tanpa gaji disamping uruskan Napie dan anak-anak. Kami cuba sokong dan bantu setakat termampu,” katanya.
Tambah Tam lagi, keadaan Napie yang kini berehat di rumah agak merisaukan dan mereka sukar mengagak apa yang akan berlaku seterusnya.
“Kalau sembuh pun, dia mungkin tak dapat aktif macam dulu. Baru-baru ini pun ada seorang rakan melawatnya dan hantar rakaman suara, memang lain betul suara. Intonasi suara pun lemah.
“Buat masa ini kami tak berani nak melawat Napie. Terus terang saya cakap. Bukan apa, kami bimbang nanti emosi dia terganggu atau dia akan meracau sehingga keadaannya jadi teruk.
“Isterinya Nor Rasidah kata, kadang Napie tengok video Spider di YouTube dan menangis. Bila dengar cerita itu kami rasa lagi berat. Kalau setakat menangis tak apa lagi tapi kalau meracau pasti akan membahayakan dia,” katanya.
Tam menanti agar keadaan betul-betul reda sebelum melawatnya dan buat masa ini hanya berhubung dengan isteri Napie untuk mengetahui keadaan pemain gitar itu.
“Jika ada apa-apa masalah kewangan kami cubalah bantu terutama membabitkan persekolahan anak-anaknya. Itu agak merisaukan kami kerana Nor Rasidah kena pantau keadaan Napie yang kini kategori kurang upaya.
“Dalam masa sama, dia kena uruskan anak-anak sekolah. Kalau ada apa-apa hal di sekolah, macam mana dia nak tinggalkan Napie kat rumah. Apapun kita sama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Spider turut terbabit dalam Rock Warrior Music Festival yang akan diadakan pada 23 dan 24 November ini di KL Base Sungai Besi.
Mereka akan beraksi pada malam kedua bersama May, Pop Shuvit dan A.C.A.B.