Kuala Lumpur: Pemain gitar terkenal, JoBranko menafikan dia menolak salam silaturahim yang dihulurkan penyanyi Wings, Datuk Awie apabila menolak tawaran daripada syarikat milik Awie, Rumah Produksi Merah (RPM) untuk kumpulannya, Barbarik beraksi di Rock Warrior Music Festival (RWMF) pada 23 dan 24 November ini.
JoBranko yang juga bekas pemain gitar Wings berkata, silaturahim perlu dilakukan dengan tulus dan ikhlas memandangkan mereka pernah bersama dalam Wings.
“Jika benar niat untuk bersilaturahim, cara terbaik adalah dengan pendekatan peribadi, bukan melalui tawaran komersial seperti konsert.
“Kami yang pernah bersama-sama dalam industri muzik bertahun-tahun dengan Wings mempunyai banyak ruang untuk bertemu dan berbincang secara baik tanpa perlu membabitkan acara umum atau media,” katanya.
JoBranko atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir berkata, dia terbuka untuk duduk dengan sesiapa saja, termasuk Awie jika tujuan utama adalah untuk memulihkan hubungan lama, namun ia mesti dimulakan dengan niat dan tujuan yang tulus dan ikhlas.
“Dalam dunia teknologi masa kini, Awie boleh saja menghantar mesej menggunakan WhatsApp atau menghubungi telefon saya jika dia ikhlas. Namun, dengan mengeluarkan kenyataan melalui media dan mempersoalkan harga yang letakkan oleh kumpulan Barbarik adalah jelas tidak profesional,” katanya.
Dalam pada itu, JoBranko berkata, dia juga sudah lama ‘move on’ dan apa yang berlaku di antara dia bersama Wings dulu sudah menjadi sejarah.
“Tiada keperluan untuk mengungkit permasalahan lama. Bagi saya, semua pihak sepatutnya terus maju ke hadapan dalam kerjaya masing-masing tanpa perlu menuding jari,” katanya.
Menurutnya, sebagai orang Islam, dia sudah lama memaafkan dan melupakan perkara ini.
“Benda berlalu biar berlalu. Saya juga sudah melihat ke hadapan dan pastinya Awie dan Wings turut melakukan perkara sama dan ia perlu diteruskan. Masing-masing mempunyai kehidupan masing-masing.
“Hidup hanya sementara dan siapa kita sebagai insan yang serba kekurangan ini ingin meletakkan dendam sesama umat. Soal siapa salah dan siapa betul dalam kes saya dan Awie biarlah diadili oleh Allah SWT,” katanya.
Media semalam melaporkan Awie menerusi syarikatnya itu menawarkan kepada JoBranko dan kumpulannya, Barbarik mengadakan persembahan di RWMF tetapi tidak kesampaian apabila JoBranko dikatakan meletakkan harga tinggi.
Awie kemudian mendakwa JoBranko menolak silaturahim yang dihulurkan apabila menolak tawaran itu dengan meletakkan harga yang tinggi.