Pembabitan Azmani Mohd Isa dalam bidang nyanyian penuh warna-warni. Penggemar setia industri seni nyanyian tentunya maklum Azmani tampil dengan album pertama bersama kumpulan Positif pada 1990.

Album berikutnya pada 1992 menyaksikan Azmani tampil secara solo dan popular menerusi lagu Sebenar Cinta.

Dia seterusnya menghasilkan album ketiga dan keempat bersama kumpulan Kulit pada 1995 dan 1997 sebelum mengambil keputusan menyepikan diri.

“Selepas album kedua Kulit (1997) saya ambil keputusan berhenti menyanyi dan anggap bukan rezeki saya dalam bidang ini. Saya nekad balik kampung di Kelantan dan berniaga yang terus kekal hingga hari ini.

“Alhamdulillah…2017 isteri hadiahkan saya mini studio, maka bermula semula karier seni saya, tapi sekadar suka-suka untuk ditampilkan di media sosial antaranya Facebook, YouTube dan TikTok.

“Saya tergerak untuk tubuhkan kembali kumpulan Positif sekadar untuk ‘jamming’ dan buat ‘show’ di kampung. Namun pada 2019, anggota kumpulan Iklim datang ke rumah menawarkan saya untuk menyertai mereka,” katanya.

AZMANI teruskan langkah walau dikecewakan Iklim.
AZMANI teruskan langkah walau dikecewakan Iklim.

Pelawaan itu disambut baik dan dia sempat merakam dua single iaitu Mawar Kasturi pada 2020 dan Cintai Aku pada 2023 bersama kumpulan legenda ini.

Bagaimanapun, jodohnya bersama Iklim tidak lama apabila dibuang tanpa alasan pada tahun lalu.

“Saya tak tahu apa masalahnya sedangkan saya dengan abang-abang Iklim tak pernah bergaduh. Peminat pun nak tahu sedangkan saya sendiri tiada jawapannya.

“Cuma abang Mohalim beritahu mereka dah capai kata sepakat tak nak saya lagi. Saya akhirnya akur dengan keputusan itu. Namun, rezeki tetap bersama saya apabila komposer Lan Laga jumpa saya dan tawarkan diri untuk buatkan single,” katanya.

Azmani yang mengusahakan bengkel kenderaan, seterusnya menyiapkan single berjudul Romantis Sandiwara ciptaan Lan Laga dengan liriknya ditulis oleh Datuk Habsah Hassan.

“Single ini baru sahaja dirilis pada Ogos lalu. Saya juga bersyukur mulai dikenali kembali apabila pempengaruh TikTok, Syamel Amzah mempelawa saya untuk kolaborasi bersamanya dalam ‘live’.

“Banyak lagu yang saya cover (nyanyi semula) ditularkan oleh Syamel dengan mendapat jutaan tontonan. Sepanjang karier seni saya, di sini saya rasa saya mempunyai peminat dan dihargai.

“Harapan saya adalah semoga kehadiran saya kali dapat mengubat rindu peminat,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *