Kuala Lumpur: Stesen radio, Hot FM terus memperhebat gerakan kempen bagi membantu penyampai radio, Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ memenangi kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Kali ini, Hot FM mendapatkan khidmat vokalis Butterfingers, Emmet untuk menyanyikan lagu Menang Selfie Menang Undi buat kempen KJ.
Melalui hantaran video dimuat naik dalam Instagram (IG), Hot FM menyebut lagu berkenaan dihasilkan bagi memberi sokongan kepada KJ atas pencalonannya dalam ABPBH 36.
“Sebab Chief (panggilan KJ) tercalon dalam ABPBH 36, kita buat satu lagu istimewa untuknya.
“Istimewanya, nyanyian daripada Emmet sebab KJ adalah peminat Butterfingers. Kali ini, kita kasi KJ menang ‘selfie’, menang undi,” tulis Hot FM pada video nyanyian Emmet yang turut memaparkan telatah KJ bersama stesen radio itu.
Meninjau ruangan komen, rata-rata memuji strategi kempen dilakukan Hot FM untuk membantu KJ memenangi kategori Penyampai Radio Popular.
Terdahulu, KJ mengaku teruja dengan pencalonan kali pertama diterima untuk ABPBH yang kini sudah memasuki edisi ke-36 menerusi kategori Penyampai Radio Popular.
Menerusi kategori itu, KJ berdepan saingan daripada penyampai lebih senior seperti Faizal Ismail, Sharifah Shahirah, Radin dan DJ Sonic serta rakan setugasnya, Johan, AG Azmeer dan Fara Fauzana.
Turut memberi cabaran pastinya DJ Lin yang meraih trofi Penyampai Radio Popular pada ABPBH 29 dan tiga edisi berturut-turut pada edisi ke-32, 33 dan 34.
Sementara itu, KJ bakal menjayakan siaran luar segmen kendaliannya bersama Johan, AG dan Fara iaitu Bekpes Hot di Restoran Hatinie, Seksyen 10, Shah Alam pada jam 7 pagi, Isnin depan.