Kuala Lumpur: “Saya sanggup ambil cuti dari penggambaran kerana nak ‘support’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 tak kisahlah sama ada menang atau kalah nanti,” kata pelakon, Trisha Ooi.
Trisha antara calon Top 20 ABPBH Ke-36 yang bakal menyertai Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, bermula hari ini hingga Ahad.
Menurut Trisha yang juga pelakon drama Menanti Senja dia teruja untuk melakukan pelbagai aktiviti yang diaturkan selama tiga hari itu.
“Kita tahu ABPBH era terdahulu amat meriah, namun pandemik Covid-19 sedikit sebanyak mengubah keadaan menjadi sebaliknya.
“Kali ini saya diberi rezeki turut serta,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan konvoi calon Top 20 ABPBH 36 ke Pulau Pinang di perkarangan Balai Berita Bangsar, pagi ini.
Senada dengan Trisha, penyanyi dan komposer berbakat Fieya Julia dan trio The Gadys turut gembira dapat sama-sama menyertai program itu,
Fieya memaklumkan rasa berdebar apabila kali pertama menyertai konvoi ABPBH.
“Rasa agak gementar juga. Dekat sana nanti saya kena menyanyi juga. Apapun saya tak sabar nak bertemu peminat.
“Saya pernah buat persembahan kurang dari lima kali buat di Pulau Pinang. Tapi kali ini berbeza. Saya bersedia untuk sertai aktiviti yang diaturkan,” katanya.
The Gadys pula memaklumkan tidak menyangka dapat peluang menyertai konvoi ABPBH berkenaan.
“Bila diberitahu oleh pengurusan, kami terus kata nak sertai. Peminat pun ternanti-nanti kerana kami selalu kongsi aktiviti di media sosial,” kata mereka.
Acara pelepasan berlangsung meriah disempurnakan Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Ketua Pegawai Operasi, Naza Eastern Motors Sdn Bhd, Mohd Irwan Shahril, yang turut menyertai konvoi ini.
Hadir sama Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinathan; Pengurus Besar, Operasi Perniagaan, Sokongan Jualan dan Pemasaran, NSTP, Aswan Abdul Kadir dan Pengarah ABPBH 36 merangkap Pengarang Berita Kanan Hiburan/Projek BH, Shamshul Azree Samshir.
Konvoi menuju ke Pulau Pinang menaiki kenderaan Suzuki Jimmy yang mendapat kerjasama logistik daripada Syarikat Naza Eastern Motors Sdn Bhd yang membekalkan enam buah kereta terbabit.
Konvoi ABPBH 36 ke KJH Pulau Pinang juga mendapat kerjasama PERSADA PLUS yang akan memantau dan melancarkan perjalanan kenderaan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Pulau Pinang. Rombongan konvoi akan singgah di Hentian Rawat dan Rehat (R&R), Sungai Perak untuk mempromosikan Malam Kemuncak ABPBH 36 dan memberi peluang kepada pengguna lebuh raya bertemu artis pujaan.
Turut diadakan ialah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengunjungi seniman era 1960-an, iaitu penyanyi lagu Marilah Mengundi, Rocky Din di kediamannya di Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada artis veteran berkenaan.
Sementara itu, antara artis dan selebriti yang bakal menyertai program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang adalah trio kumpulan Senario iaitu Yassin, Saiful Apek dan Lan Pet Pet; Haiza; Ernie Zakri; Nabila Razali; Khai Bahar; Sweet Qismina; Bella Astilah dan Ara Johari.
Malam Kemuncak ABPBH 36 yang ditaja CONBOO akan disiarkan secara langsung di TV3 dan strim melalui Tonton dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 11 Oktober ini jam 9 malam.