Genting Highlands: Penyanyi, Ayda Jebat menerima kritikan secara terbuka apabila ada pihak yang menganggap konsep lagu baharunya berjudul Memerang, tidak sesuai dengan usia dan statusnya sebagai ibu.
Ayda, 32, berkata, pandangan peminat adalah subjektif dan dia sebagai penyanyi menerbitkan karya yang sesuai dengan kehendaknya di samping menghormati pendapat peminatnya.
“Biasalah, kalau nama pun peminat, ada yang suka dan tak. Ada yang rasa tak sesuai juga. Bagi saya, saya suka. Kalau nak cakap mengenai lagu yang matang, saya dah pernah keluarkan sebelum ini.
“Bila keluarkan lagu matang begitu, ada pula yang minta saya keluarkan lagu seperti Temberang dan Pencuri Hati. Ada yang anggap saya tak sesuai lagu yang matang dan perlahan.
“Jadi, apabila ada yang cakap saya sebagai ibu anak dua, sebolehnya keluarkan lagu yang sesuai dengan umur dan imej, saya rasa ia subjektif,” katanya.
Menurut Ayda, dia ingin mengembalikan konsep muzik yang pernah dibawakannya sebelum ini iaitu pop dan pada masa sama, menampilkan Gen Z di dalam video muzik.
“Kalau dulu sewaktu muda, saya nak sangat nampak dewasa. Tapi, bila makin dewasa, kita dah rasa macam kena ‘blend’.
“Penampilan ini pun sebab saya nak bawa ‘vibe’ sama seperti sebelum ini. Sekarang, kita kena bawakan Gen Z dalam video muzik sebab mereka sangat hebat di media sosial. Jadi, saya ambil peluang itu,” katanya.
Video muzik Memerang menampilkan beberapa pempengaruh Gen Z antaranya Kasih Iris Leona, Ceddy serta bintang muda dari Indonesia, Gabriel Prince.
Lebih menarik, turut ditampilkan artis veteran, Liza Abdullah dan anak sulung Ayda, Ana Nayla.