Petaling Jaya: Penerbit filem Dajal: Satu Malam Diperdajal (Dajal), David Teo tidak akan memotong babak yang membabitkan pelakon filem itu, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed.
David ketika ditemui juga meminta agar penonton tidak memboikot filem itu kerana urusan kerja adalah urusan profesional dan Syed juga memberi komitmen penuh dalam lakonannya.
“Kami tak fikir nak potong pun. Watak itu tetap watak dia. Saya anggap ini adalah satu filem terakhir sebelum keputusan mahkamah.
“Saya tak setuju orang nak boikot dia sebab kita kena profesional. Sebagai manusia, kita ada akal fikiran dan ini adalah kerjaya profesional dia dan bukan realiti dia. Lagi pun, dia bukan pelakon utama. Saya harap jangan boikot sebab penonton profesional dan bijaksana. “Bagi saya, saya ambil dia berlakon sebab dia profesional walaupun orang itu ada rekod masuk penjara, pernah menagih dadah atau ditangkap khalwat. Kita pandang dari sudut profesional,” katanya kepada Harian Metro. Tambah David, dia yakin berita mengenai kes membabitkan Syed tidak akan memberi kesan buruk kepada filem itu kerana penonton hari ini dapat berfikir dengan wajar. “Bila saya baca berita dia, bukanlah saya terkejut sebab sebelum ambil dia berlakon, saya sudah dimaklumkan mengenai kesnya. Namun, keputusannya belum muktamad. Mungkin ada keputusan lagi. “Jadi, saya anggap kami tak boleh buat keputusan sebelum mahkamah buat keputusan dan saya kena terima dengan hati terbuka. Saya anggap ini satu takdir yang dibuat di dalam hidup. “Saya yakin, apa pun takkan mengganggu filem ini kerana kalau lakonan dia bagus, orang akan ingat lakonannya. Hal peribadi, adalah hal peribadi dia. Jadi, kita beri peluang untuk orang bertaubat,” katanya. David juga berpendapat, tidak adil untuk sesuatu filem itu diboikot hanya kerana satu artis yang bermasalah kerana masih ramai lagi artis lain yang membintangi filem itu. “Saya tetap letak namanya di kredit. Penonton nak tengok atau tidak, terpulang. Ada filem yang pelakonnya bermasalah juga, tapi tak adil sekiranya orang tak tonton hanya kerana itu. “Jadi, saya percaya penonton boleh faham situasi dan saya dah tengok lakonan dia memang memuaskan. Bagus dari segi persembahan dia,” katanya. Selain Syed, filem arahan pengarah Pierre Andre itu juga turut dibintangi Amir Nafis, Jay Iswazir, Jaja Iliyes dan ramai lagi. Terdahulu, Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. Selepas dipenjarakan selama 21 hari, Syed kini dilepaskan dengan jaminan RM35,000 serta dua penjamin.