Kuala Lumpur : Pelakon, Zarina Anjoulie, 37, atau Anju menafikan dakwaan dia kini menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang pempengaruh media sosial seperti diperkatakan ramai ketika ini.

Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul berkata, hubungannya dengan jejaka kacak yang dikenali sebagai Farigh itu hanya teman rapat sahaja.

“Sebenarnya, saya susah nak jawab mengenai perkara ini.

“Kami memang sudah lama mengenali antara satu sama lain dan apa yang saya boleh katakan ketika ini, kami memang ‘best friend’ (berkawan baik),” katanya kepada Harian Metro pada majlis pelancaran kolaborasi eksklusif Noir X RO di Ampang, di sini, baru-baru ini.

Ditanya tubuhnya yang nampak langsing pula, kata Zarina dia tidak melakukan pembedahan bariatrik sebaliknya mengamalkan diet dan senaman di gimnasium.

“Saya kurus bukan sebab bariatrik sebaliknya banyak menghabiskan masa buat senaman.

“Maklumlah, ‘teman rapat’ saya seorang ‘kaki gimnasium’ dan saya pun terikut sekali dengan aktiviti dilakukannya,” katanya.

Terdahulu, kemesraan Zarina dan seorang jejaka kacak yang juga pempengaruh dikenali sebagai Farigh mencuri perhatian netizen di media sosial.

Malah, Zarina juga turut memuat naik gambar ‘mesra’ mereka berdua berjalan berpegangan tangan ketika menghadiri pelbagai acara di media sosial miliknya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *