Kuala Lumpur : “Apabila sudah ada harta, kuasa dan nama, jangan ‘poyo’ sangat apabila bercakap,” kata pelakon, Azhar Sulaiman yang menasihatkan pendatang baharu supaya tidak meninggi diri atau mudah lupa apabila sudah dikenali ramai.
Azhar berkata, memiliki wajah yang kacak juga tidak menjamin seseorang artis kekal relevan sekiranya tidak memiliki adab baik.
“Ingatlah sikit, kita hanya orang biasa saja, jadi jangan berlagak sangat apabila ada populariti itu.
“Dalam industri hiburan ini, kalau muka kacak saja tak menjaminkan apa-apa. Semuanya tetap bergantung kepada tuah dan rezeki. Jika Tuhan tak buka rezeki itu, tetap tidak ke mana,” katanya.
Ditanya mengenai hasrat segelintir pelakon baharu yang mensasarkan untuk meraih trofi anugerah antarabangsa seperti Oscar, Azhar berkata, tidak salah untuk memiliki impian sebesar itu.
Bagaimanapun, dia mengingatkan individu itu supaya berpijak di bumi nyata dan tidak memandang rendah dan meremehkan usaha serta kewujudan pelbagai platform yang ada dalam negara untuk memantapkan industri seni tanah air.
“Tidak salah untuk mempunyai cita-cita yang tinggi tetapi jangan sesekali memperlekehkan usaha segelintir individu lakukan untuk industri seni kita termasuk penganjuran anugerah yang kecil-kecil ini.
“Kalau nak bandingkan dengan Tan Sri Michelle Yeoh atau Henry Golding, kita perlu lihat semua perjalanan mereka untuk sampai ke tahap sekarang.
“Jadi, sebagai pelakon terutamanya pendatang baharu perlu meraikan pelbagai platform, ruang dan acara yang boleh bantu menaikkan lagi kerjaya mereka. Jangan perlekeh platform yang sedia ada,” katanya.