Sejak dilancarkan pada 9 Ogos lalu, lagu Pata Pata gandingan penyanyi meningkat naik, Dalia Farhana dan penyanyi terkenal Indonesia, Angga Dermawan mendapat sambutan hangat dengan mencapai lebih 800 ribu tontonan di YouTube.

Lagu Pata Pata yang juga terbitan XO House Malaysia pernah menduduki tempat #7 dalam carta ‘Trending’ muzik dalam masa tiga minggu sahaja.

Secara peribadi, Dalia atau nama sebenarnya, Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar, 26, mengakui sangat teruja untuk meneruskan eksperimen muziknya dalam genre Electric Dance Music (EDM).

Katanya, ini adalah pembabitan pertamanya dalam genre sedemikian.

“Saya tidak sabar untuk meneroka lebih luas dan mengembangkan kreativiti muzik dalam pelbagai genre.

“Saya juga gembira dapat bekerjasama dengan Angga yang juga artis terkenal dari Indonesia.

“Angga seorang yang mudah bekerjasama dan sangat profesional,” katanya yang dikenali menerusi lagu Langit Yang Sama.

Berkongsi mengenai lagu Pata Pata, kata Dalia, lirik lagu itu dihasilkan bersama Angga dan Amir Firdaus.

DALIA pertaruh lagu dengan Angga berjudul Pata Pata.
DALIA pertaruh lagu dengan Angga berjudul Pata Pata.

Angga adalah penyanyi dan penulis lagu terkenal dari Indonesia di mana hampir setiap lagu dilancarkannya tular dan ‘trending’ di TikTok.

“Lagu ini menceritakan cabaran dan kekeliruan dihadapi dalam kehidupan seharian.

“Kekeliruan timbul akibat kata-kata yang tidak dikotakan dan hanya menyebabkan kepedihan bagi mereka yang mengalaminya.

“Ia juga menggambarkan hubungan penuh masalah disebabkan sikap talam dua muka, di mana kata-kata manis diucapkan di hadapan tetapi menikam dari belakang,” kata Dalia yang berharap pendengar dapat merasakan dan memahami mesej ingin disampaikan menerusi naskhah itu.

Menurutnya lagi, lagu Pata Pata bukan sahaja mempersembahkan tema dan mesej yang mendalam tetapi juga menampilkan penggunaan bahasa ‘Ternate’ (Utara Maluku) dalam liriknya.

“Ini menambahkan keunikan dan keaslian kepada lagu itu dan mencerminkan warisan budaya Angga serta memberikan sentuhan yang berbeza dalam muzik tempatan.

“Lagu ini juga mengkritik kepura-puraan dalam masyarakat di mana orang sering menampilkan wajah manis tetapi mempunyai niat yang licik.” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *