Kuala Lumpur: Program Angeline Tanya Abang Jawab, sebuah rancangan interaktif santai yang disiarkan di TV AlHijrah menggabungkan agama, hiburan dan pendidikan, serta bertujuan memberikan bimbingan kepada Saudara Baharu untuk mendalami asas agama Islam memulakan tayangannya malam ini.

Program disiarkan setiap Rabu, jam 8.30 malam, menampilkan pelakon terkenal Angeline Tan dan suaminya, Sabri Yunus yang saling berinteraksi melalui soalan-soalan berkaitan pelbagai isu menarik 

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya memikul tanggungjawab jawab besar dalam menyantuni golongan Saudara Baharu di Malaysia.

“Dakwah di platform penyiaran TV dilihat mampu mengisi kelompongan pedagogi dalam dakwah pada zaman kini. Oleh itu, program ini diterbitkan untuk

memberikan pandangan yang mendalam mengenai nilai-nilai keagamaan dan kekeluargaan, sambil menjadikan proses pembelajaran buat golongan mualaf menjadi lebih menyeronokkan.

“Setiap persoalan yang diajukan oleh Angeline kepada Sabri adalah persoalan yang kerap kali dibangkitkan oleh golongan mualaf seperti perihal fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab dalam rumahtangga dan keluarga, kefahaman dan amalan ibadah, etika pemakaian dalam Islam, hubungan sesama Islam dan bukan Islam serta banyak lagi topik lain.

“Setiap episod program ini diharapkan dapat menyampaikan pesan-pesan kebaikan secara jelas dan mempromosikan keharmonian dalam keluarga Muslim. Dengan penggabungan elemen-elemen itu, program ini diharapkan dapat memenuhi keperluan penonton dan masyarakat yang ingin mendalami ajaran agama Islam sambil merasai kedekatan kekeluargaan yang lebih menyenangkan.

“Dengan adanya unsur humor yang diselitkan secara bijak oleh Sabri serta penerangan daripada barisan asatizah, kami yakin konsep kebaikan dan cinta kasih Islam akan terserap dengan lebih baik oleh penonton,” katanya.

Menurutnya, setiap episod program ini menampilkan segmen di mana Angeline, bersama panel pakar jemputan, membincangkan topik-topik yang relevan, memberikan perspektif yang mudah difahami serta penyelesaian praktikal berlandaskan ajaran Islam.

Barisan asatizah dan ilmuan yang yang terbabit dalam menjawab soalan-soalan yang ditanyakan Angeline Tan antaranya Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz

Azhar Ghazali, Ustaz Zul Ramli, Imam Muda Asyraf dan ramai lagi.

Menariknya, setiap episod program Angeline Tanya Abang Jawab disusun dengan kemas untuk merangkumi isu-isu yang sering dihadapi oleh masyarakat terutama golongan mualaf, seperti hal-hal kekeluargaan, akhlak, perhubungan, serta panduan dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.

Walau diterbitkan khusus untuk Saudara Baru, namun Program Angeline Tanya Abang Jawab ini juga sangat digalakkan untuk ditonton seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda dan keluarga yang ingin mendapatkan

pencerahan mengenai pelbagai isu kehidupan seharian dan panduan dalam menjalani kehidupan berteraskan nilai-nilai Islam.

Program Angeline Tanya Abang Jawab bakal ditayangkan sebanyak 13 episod, manakala ulangannya pula akan ditayangkan sebanyak empat kali seminggu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *