Kuala Lumpur: Pelakon Jue Aziz, 41, berharap mampu tunaikan impian ibunya yang kian uzur untuk melihatnya memiliki cahaya mata menerusi perkahwinan terbarunya.

Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz berkata itu antara faktor utamanya terbuka hati untuk kembali berumah tangga kerana teringin sangat timang zuriat sendiri.

“Buat masa sekarang, saya sedang dalam proses mencuba untuk hamil (TTC), memang tak tunggu lama sebab mak saya pun bukan sihat mana. Mak selalu cakap dia teruja untuk saya ada anak sendiri.

Dia sekarang pun sedang sakit, saya pun risau takut apa-apa terjadi. Sebab itu saya kahwin cepat-cepat sebab saya mahu luangkan masa banyak bersama mak, jadi senang untuk ke mana-mana. 

“Saya tidak pernah segan minta doa daripada sesiapa untuk cepat hamil sebab dulu saya tunggu lama tapi tidak berjaya,” katanya pada majlis pelancaran filem Miftah Alam di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di sini, hari ini.

Menurut pelakon Hantu Nan Sempit itu, dia akui memang saban hari memantau tahap kesuburannya demi pastikan hajat untuk hamil tercapai.

“Sekarang saya memang gigih periksa waktu subur dan sesuai hamil sebab saya sudah 41 tahun, kalau lambat takut mak tak sempat tengok.

“Itu yang saya sedih sebab saya seorang sahaja dalam adik beradik yang tidak ada anak. Ada sekarang ini pun anak angkat,” katanya.

Jue yang kembali mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Ridwan Hussien, 34, pada 18 Ogos lalu berharap perkahwinan itu akan menjadi yang terakhir buatnya.

“Saya tidak memilih hanya yang kaya sahaja. Saya terima sahaja mana yang ditakdirkan untuk saya dari dulu lagi. Saya terima sahaja siapa yang hadir cuma paling penting saya boleh selesa dengan dia.

“Sayang ini mudah untuk diungkapkan, tapi hendak cari yang selesa itu tidak mudah. Harap-harap inilah yang terakhir,” katanya.

Terdahulu, Jue berkongsi video majlis pernikahannya yang berlangsung di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan di laman Instagram miliknya.

Untuk info, Jue mendirikan rumah tangga pada 2014 bersama pemuzik dari Indonesia, Bayu Parman, namun bercerai pada 2019.

Mereka tidak dikurniakan cahaya mata dan memiliki seorang anak angkat, Darwish Naufal, 12.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *