Kuala Lumpur: Pelakon, Harris Annuar, 32, berkongsi bagaimana sihir yang ‘dihantar’ kepada ibunya yang juga ahli perniagaan, Dr Zaiton Hassan atau Kak Ton, turut memberi tempias kepadanya.

Harris berkata, sejak sekian lama, dia sering melihat kelibat entiti seperti pocong.

“Saya pernah kena juga tempias sedikit. Tetapi, ia sekadar sedikit-sedikit contohnya saya ternampak kelibat lembaga. Saya pernah kongsikan di satu platform bahawa saya selalu nampak kelibat pocong.

“Ada yang maklumkan kepada saya, kalau selalu nampak pocong, itu tanda kita kena tempias sihir sebab susah nak nampak kelibat pocong.

“Mungkin sebab saya anak kesayangan dan rapat dengan mak. Kadang-kadang, pernah juga saya berlaga angin dan ada yang tak kena dengan mak. Itu pun satu tempias juga yang saya rasa,” katanya.

Berkongsi mengenai laporan Harian Metro baru-baru ini berikutan kisah ibunya yang pernah disihir, Harris berkata, ia berlaku sejak sekian lama.

“Mak saya dah kena sihir kalau nak diikutkan sejak dulu lagi, tapi di kedai. Contohnya, orang lalu kedai, tapi tak nampak kedai. Kemudian, mak saya kena lagi sejak 2016, kali kedua ini,” katanya.

Harris juga berdoa agar tempias sihir itu tidak menyakiti orang-orang tersayang terutamanya, anak dan isterinya.

“Benda paling takut, kalau sihir ini terkena tempias kepada anak saya sebab masih bayi. Kalau kena kepada saya, Insya-Allah saya boleh hadap lagi. Tapi, janganlah kena kepada orang yang saya sayang,” katanya.

Terbaharu, Harris menyertai program Muzikal Lawak Superstar 4 dan menganggotai kumpulan Kilo bersama pelawak, Tapai dan Tajuddin Bakar.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *