Kuala Lumpur: Gitaris tersohor Jobranko menegaskan penubuhan kumpulan Barbarik adalah bukan sekadar projek khas sebaliknya mereka serius untuk bergerak lama dalam industri.
Jobranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, berkata masih ada pihak yang anggap mereka main-main tapi hakikatnya bakal melancarkan album perdana bulan depan.
“Pernah berlaku apabila sesebuah kumpulan buat ‘reunion’, mereka ambil kesempatan terhadap industri. Bila selalu buat begitu, orang nampak macam tak serius dan orang takkan ikuti kita.
“Saya tak nak orang kata Barbarik adalah kumpulan projek kerana kalau projek maknanya habis sahaja acara, kami akan kembali membawa haluan sendiri.
“Jadi, saya hasilkan album ini kerana nak beritahu yang kehadiran kami dalam industri adalah serius dan mahu berkarya. Kalau orang tahu kita serius, orang akan ikuti perkembangan dan terus menyokong,” katanya.
Barbarik yang turut dianggotai Muss mahu buktikan menerusi penghasilan album itu bahawa mereka tidak main-main. Jobranko tidak nafikan ia percaturan berisiko namun material sendiri harus ada.
“Kena juga ada material baharu sebab nak main di konsert. Saya adalah artis yang ketagih nak main konsert. Dengan keluarkan album, saya nak peminat tahu kami tak main-main dan ia akan memudahkan peminat terus beri sokongan,” katanya.
Bekas gitaris Wings itu turut memuji lantunan vokal Muss yang masih hebat untuk album baharu mereka.
Katanya rakaman pun sangat lancar dengan bantuan rakan-rakan penerbit yang bukan calang-calang.
“Ada tujuh lagu termasuk instrumental. Semuanya ciptaan saya sendiri, manakala liriknya ditulis mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini iaitu Anuar Botak, Nasir Jani dan Muss.
“Meskipun Muss mengaku gerun ketika proses rakaman, namun vokalnya sebagai penyanyi rock masih lagi yang terbaik,” katanya.ADVERTISING
Sementara itu, Jobranko ketika ditemui di acara Sentuhan Nadi semalam memuji bakat penyanyi muda Yonnyboii yang bekerjasama dengannya menerusi lagu Nadi.
“Walaupun penyanyi rap, tapi Yonnyboii boleh menyanyi seperti penyanyi pop lain. Dia seorang anak muda yang berbakat kerana boleh buat lagu, tulis lirik dan sangat bekerja keras,” katanya.