KUALA LUMPUR: Pelakon ‘senior’, Jasmin Hamid terkejut saat mengetahui namanya membolosi kelompok 20 pencalonan awal bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular.

“Adakah saya masih popular? Tapi, saya bersyukur sebab dalam nama saya dicalonkan dalam ramai-ramai pelakon. Terima kasih Berita Harian,” katanya.

Jasmin atau nama sebenar, Jasmiah Abdul Hamid, 52, bersyukur apabila usaha dan peranannya sebagai pelakon untuk memberi hiburan kepada orang ramai masih dihargai sehingga kini.

Pelakon kelahiran Pahang memulakan karier lakonan pada awal era 1990-an itu turut menyifatkan pencalonannya adalah rezeki kurniaan Allah atas usahanya dalam bidang seni tanah air.

“Saya bersyukur kerana masih lagi diterima masyarakat untuk menghiburkan dan menyampaikan isi hati kepada ramai orang menerusi lakonan.

“Ada juga tanya sampai bila saya hendak terus berlakon, jawapan saya adalah sampai tua. Selagi sihat, diterima orang dan Allah masih izinkan saya untuk terus berada dalam bidang ini, saya akan teruskan.

“Bila sudah terbabit dalam industri seni, ia sudah menjadi darah daging saya dan tetap mahunya. Saya bersyukur kerana masih diterima, jadi sebagai balasan, saya akan teruskan,” katanya kepada BH Online.

Jasmin meraikan kedatangan pelakon baharu, malah, berpendapat perlu sentiasa memberikan yang terbaik supaya mewujudkan persaingan secara sihat. - Foto IG Jasmin Hamid
Jasmin meraikan kedatangan pelakon baharu, malah, berpendapat perlu sentiasa memberikan yang terbaik supaya mewujudkan persaingan secara sihat. – Foto IG Jasmin Hamid

Mengenai harapannya, finalis program pencarian bakat, Dewi Remaja edisi 1990/1991 itu berkata, tiada sebarang harapan diletakkan kerana peluang menembusi senarai pencalonan ABPBH 36 sudah cukup berharga.

“Saya tak mengharap, apapun hanya tawakal kepada Allah dan terima segala ketentuan. Kalau terlalu menaruh harapan, nanti bila tidak dapat pasti akan kecewa. Apa yang penting, saya bersyukur sebab tercalon.

“Alhamdulillah, masih ada peluang untuk dicalonkan dan saya masih tidak dipinggirkan dalam dunia penganugerahan ini. Kalau dapat itu adalah anugerah Tuhan, kalau tidak dapat bukanlah bermaksud karier saya akan berakhir,” katanya.

Sebagai pelakon ‘senior’, Jasmin turut meraikan kedatangan pelakon baharu, malah, berpendapat perlu sentiasa memberikan yang terbaik supaya dapat mewujudkan persaingan secara sihat.

“Ada kala saya terfikir sama ada masih boleh diterima atau tidak. Kadang-kadang terfikir adakah saya syok sendiri atau apa saya buat hambar.

“Jadi, saya fikir kena buat pembaharuan untuk bersaing, kena bersaing dengan pelakon baharu sebab industri perlu ada pelapis serta bersaing secara sihat.

“Kalau bukan rezeki menang kena bekerja kuat untuk meraih kejayaan. Jangan mengaku kalah sebelum masuk gelanggang. Usaha paling penting, menang atau kalah lain cerita,” katanya yang bakal membuat hebahan menerusi media sosial supaya peminat dapat mengundi, selain sebagai tanda sokongan kepada Berita Harian.

Terdahulu, Jasmin pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular pada ABPBH edisi 1997, 1998 dan 2002.

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *