Kuala Lumpur: Pengarah Muzik juga pemimpin Orkestra Radio Televisyen Malaysia (ORTM), Datuk Mokhzani Ismail, 62, menyifatkan pemuzik veteran yang juga adik kepada tokoh legenda, Tan Sri Ahmad Nawab, iaitu Allahyarham Akbar Khan, 86, sebagai individu sopan-santun dan berhati mulia.

Mokhzani berkata, dia mula mengenai Allahyarham pada tahun 1992 sewaktu mereka sama-sama melapor diri dengan ORTM.

“Arwah pernah menjadi ketua Kombo RTM Kawasan Utara pada tahun 70an sebelum berhenti untuk menjadi komposer bersama syarikat rakaman EMI dan Nawab Productions.

“Kemudian pada tahun 1992, arwah Akbar berkhidmat semula dengan ORTM dan saya ketika itu turut melapor diri di bawah Pengarah Muzik Datuk Ahmad Dassilah.

“Jadi kami sering bekerja sebagai satu pasukan. Malah ketika saya menjadi pengarah muzik, arwah juga bertindak sebagai pengubah muzik dan ahli muzik kanan.

“Sepanjang perkenalan, arwah seorang insan yang baik, bersopan-santun dan pendiam. Apabila ada kawan yang bergurau, barulah dia ketawa,”katanya.

Tambahnya, kali terakhir bertemu Allahyarham adalah sekitar tiga tahun lalu dalam satu majlis pengebumian seorang kenalan dalam industri muzik.

“Saya agak terkejut dengan berita pemergiannya. Walaupun kami jarang berhubung tapi saya tahu dia berada dalam keadaan sihat sebelum ini,”katanya.

ABASS.
ABASS.

Dalam pada itu, komposer Abass Abu Bakar yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada sahabatnya di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Gombak, di sini, pagi tadi menzahirkan rasa sedih apabila seorang demi seorang rakan industri sudah menghadap Ilahi.

“Walaupun tahap kesihatan saya pun kurang baik sekarang ini kerana baru saja keluar hospital akibat kekurangan oksigen dan mengalami maslah jantung, saya tetap gagahkan diri untuk memberi penghormatan terakhir kepada sahabat saya ini.

“Pemergiannya adalah satu kehilangan yang cukup berat kerana kami baru saja berjumpa dalam bulan ini di sebuah kedai kopi. Walaupun berat badannya kelihatan begitu susut, tapi dia nampak okey.

“Saya sangat sedih apabila mendapat berita ini kerana seorang demi seorang rakan industri sudah meninggal dunia. Termenung juga saya tadi, tapi ini semua adalah ketentuan Tuhan” katanya dia dan Allahyarham cukup rapat kerana berasal dari Pulau Pinang.

Allahyarham Akbar dilaporkan meninggal dunia dalam kereta ketika keluar ke kedai berhampiran kediamannya di Taman Sri Gombak, petang semalam.

ABBAS (berdiri) bersama Ahmad Nawab ketika pengkebumian Akbar pagi tadi.
ABBAS (berdiri) bersama Ahmad Nawab ketika pengkebumian Akbar pagi tadi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *