KUALA LUMPUR: Dua kali berkunjung ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert masih belum memberi kepuasan buat penyanyi terkenal dengan lagu berkonsepkan penyembuhan jiwa, Kunto Aji.-ADVERTISEMENT-
Bagi Kunto, kepuasan sebenar dalam menghiburkan peminat bukan sahaja menerusi nyanyian, tetapi bagaimana dirinya disifatkan sebagai sahabat dapat mendasari hati si pemujanya.
Justeru, kata Kunto atau nama sebenarnya, Kunto Aji Wibisino, dia mahu menjadikan suasana lebih intim dan peminat selesa untuk meluahkan isi hati dengannya.
“Menu utama konsert bukan pertunjukan dan bukan juga sekadar nyanyian. Saya cuma ingin bertemu penonton dan bersembang dengan mereka.
“Sebelum ini, kami hanya bertegur sapa dan bergambar sahaja. Memang tak sempat langsung nak berborak hal yang berkaitan muzik, kehidupan termasuk pandangan isu alam sekitar.
“Saya mahu mendengar mereka bercerita dan menyatakan pandangan mereka,” katanya pada sidang media pengumuman Konsert Kunto Aji: Perjalanan Menawar Racun secara virtual, baru-baru ini.
Yang turut hadir, wakil penganjur yang juga Pengarah Urusan Hashtag Media Sdn Bhd, Mohd Zulhelmie Zullifan.
Dalam pada itu, komposer kelahiran Yogyakarta, Indonesia itu turut meluahkan hasrat mengadakan pertemuan santai dengan peminat di lokasi terbuka sekitar ibu kota.

Penyanyi yang sinonim dengan imej berambut kerinting dan berkaca mata itu berkata, konsep tersebut pernah dilakukan di daerah kelahirannya dan ia menerbitkan satu pengalaman indah apabila dapat berinteraksi sambil menghiburkan peminat.
“Saya tidak sabar berjalan sekitar Kuala Lumpur. Banyak hal yang ingin saya berbual dengan mereka termasuk berkaitan kehidupan.
“Mereka juga boleh ‘curhat’ (luahkan perasaan) ataupun berkongsi masalah peribadi dengan saya. Bukan bermaksud saya ada jalan penyelesaian terhadap semua permasalahan, tetapi sekadar berkongsi rasa.
“Selain itu, saya juga ingin menggunakan kesempatan mencuba pelbagai makanan yang ada.” ungkapnya.
Sementara itu, Zulhelmie berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi terbuka bersesuaian untuk Kunto melunaskan impiannya itu.
“Paling penting, kami perlu mendapat permit daripada pihak berwajib supaya aktiviti dirancang berjalan lancar.
“Dua lokasi sama ada Taman KLCC ataupun Taman Metropolitan Kepong,” ujarnya.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan Kunto membawakan 20 lagu, malam esok. Ia termasuk lagu hit dari album terdahulu seperti Rehat, Saudade dan Terlalu Lama Sendiri yang akan digubah susunan muzik.