“TERPULANG kepada individu itu sendiri, kalau niat dia nak jadi perempuan kita pun tahu apa akibatnya terutama di Malaysia serta budaya kita,” kata pelakon dan pempengaruh, Ucop Hashim, 31, mengulas isu segelintir ‘content creator’ didakwa memakai solekan menyerupai wanita begitu juga sebaliknya.

Ucop atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Hashim berkata, pempengaruh juga perlu berfikir mengenai kesannya sebelum berkongsi sesuatu kandungan di media sosial.

“Mereka boleh membuat kandungan digital macam mana sekalipun, tetapi sebagai pempengaruh mereka perlu ada pengagihan watak dalam media sosial dengan dunia nyata.

“Tetapi, kalau mereka bersolek untuk membuat ‘content’ semata-mata, saya berasa perkara itu tak ada masalah kerana mereka (pempengaruh) bebas untuk buat apa sahaja jenis video asalkan ia memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Ucop ditemui pada sidang media dan tayangan perdana drama bersiri Viu iaitu The Secret di GSC, Midvalley, di sini, kelmarin.

Mengenai ‘content’ lagi, kata pelakon siri popular, Projek : High Council ini, dia juga berharap pempengaruh lebih berhati-hati sebelum memuat naik kandungan video yang bertentangan dengan agama.

“Kita kena tengok semula jenis kandungan digital yang dilakukan. Kalau sudah bercanggah dengan agama, ‘content creator’ perlu berfikir dahulu sebelum berkongsi supaya tidak menimbulkan spekulasi kepada orang ramai.

“Zaman saya dahulu dengan sekarang sudah lain. Kini mereka (pempengaruh) lebih berani mengekspresikan apa yang mereka rasa di media sosial.

“Saya sendiri pernah buat ‘content’ macam itu, tetapi saya tak akan bawa perkara itu dalam dunia nyata sebab ia hanya pesona,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ucop bergandingan dengan barisan pelakon popular iaitu Remy Ishak, Siti Saleha dan Nadiya Nisaa dalam drama The Secret arahan Jason Chong.

“Saya tertarik dengan watak ditawarkan dalam dalam drama ini selepas membaca skripnya. Watak itu juga sukar dan banyak bermain dengan emosi.

“Drama ini mengetengahkan isu seperti rogol, buli siber dan bunuh diri.

“Sebagai pelakon, saya merasakan ia satu tanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada penonton,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *